Berita

OPR kekal 3 peratus

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, selari dengan penilaian semasa terhadap prospek pertumbuhan dan inflasi negara.

Ini merupakan kali ke-12 berturut-turut BNM mengekalkan kadar penanda aras itu sejak Mei 2023, mencerminkan pendirian berhati-hati dalam memastikan kestabilan harga dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

BNM dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan penunjuk semasa yang menunjukkan pertumbuhan global dan perdagangan terus kukuh, disokong oleh permintaan domestik serta aktiviti ekonomi yang dipercepatkan sebelum ini.

Bagaimanapun, langkah tarif oleh Amerika Syarikat dan tindak balas daripada negara lain dilihat membayangi prospek pertumbuhan dan perdagangan dunia. Keadaan ini turut mencetuskan ketidaktentuan tinggi terhadap persekitaran ekonomi global, termasuk rundingan perdagangan dan ketegangan geopolitik.

“Ketidaktentuan ini berpotensi meningkatkan turun naik dalam pasaran kewangan global,” katanya.

Bagi ekonomi Malaysia, pertumbuhan pada suku pertama tahun ini terus didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh serta prestasi eksport yang stabil.

Menurut BNM, biarpun ketegangan perdagangan dan dasar global yang tidak menentu dijangka memberi tekanan kepada sektor luaran, permintaan berterusan terhadap barangan elektrik dan elektronik serta perbelanjaan pelancong akan membantu menyokong eksport negara.

“Secara keseluruhan, pertumbuhan dijangka terus berpaksikan kepada permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, diperkukuh oleh peningkatan guna tenaga dan pendapatan isi rumah serta pelaksanaan pelaburan swasta dan awam,” jelasnya.

Bank pusat itu turut menjangkakan pertumbuhan pelaburan akan disokong oleh pelaksanaan projek pelbagai tahun, pelaburan yang telah diluluskan serta inisiatif di bawah pelan induk nasional.

Namun, BNM mengakui risiko terhadap prospek pertumbuhan kekal cenderung kepada penyederhanaan, berikutan kelembapan ekonomi rakan dagangan utama, sentimen yang lemah serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.

Sebaliknya, rundingan perdagangan yang lebih positif, dasar sokongan pertumbuhan di negara maju dan peningkatan aktiviti pelancongan boleh menyumbang kepada pemulihan ekonomi yang lebih baik.

Dari segi inflasi, kadar inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatat purata 1.5 peratus dan 1.9 peratus pada suku pertama 2025. BNM menjangka kadar inflasi kekal terkawal sepanjang tahun ini memandangkan kos global yang sederhana dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negeri yang berlebihan.

“Trend penurunan harga komoditi global dijangka terus menyumbang kepada kestabilan kos. Kesan langkah pembaharuan dasar dalam negeri terhadap inflasi juga dijangka kekal terurus,” katanya.

Sementara itu, prestasi ringgit akan terus bergantung kepada faktor luaran, namun prospek ekonomi Malaysia yang positif serta pembaharuan struktur dalam negeri dan usaha menggalakkan aliran masuk dana asing dijangka menyokong kestabilannya.

BNM menegaskan, paras semasa OPR adalah sejajar dengan kedudukan dasar monetari yang menyokong pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran inflasi yang stabil.

“MPC akan terus memantau segala perkembangan dan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif bagi menyokong pertumbuhan ekonomi secara mampan dalam keadaan harga yang stabil,” kata kenyataan itu.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button