KesihatanNasionalPenyakitpilihan

Kejayaan IJN lakukan dua pemindahan jantung beri harapan kepada pesakit

INSTITUT Jantung Negara (IJN) komited untuk memajukan rawatan bagi kegagalan jantung dan meningkatkan kesedaran mengenai pendermaan organ, susulan kejayaan penyelesaian dua pembedahan pemindahan jantung.

IJN baru-baru ini berjaya melakukan pemindahan jantung terhadap dua pesakit remaja yang menghidap non-ischaemic dilated cardiomyopathy, iaitu penyakit otot jantung yang meregang dan menipiskan ruang jantung.

Kedua-dua pesakit Muhammad Farhan Irfan Mohd Razif, 19, dan Daniella Kang, 18, kini, dilaporkan stabil dan berada dalam proses pemulihan.

Pengarah Klinikal, Transplantasi Jantung dan Paru-paru Program Jantung Mekanikal IJN, Datuk Dr Mohd Nazeri Nordin berkata, pada mulanya, pesakit lelaki menerima panggilan untuk penerimaan pemindahan jantung kali pertama.

Pengarah Klinikal, Transplantasi Jantung dan Paru-paru Program Jantung Mekanikal IJN, Datuk Dr Mohd Nazeri Nordin

Namun, katanya, pemeriksaan terhadap jantung itu mendapati ia kurang sesuai dengan pesakit berkenaan.

“Alhamdulillah, pada 6 Januari lalu kami menerima panggilan kedua bahawa pesakit akan menerima pendermaan jantung yang sihat,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dr Mohd Nazeri berkata, Farhan Irfan tersenarai dalam senarai menunggu sejak Mei tahun lalu..

Muhammad Farhan Irfan Mohd Razif ketika sesi sidang media

Menurutnya lagi, pesakit kedua, Daniella melalui sudahdua pembedahan untuk memulihkan masalah jantungnya.

“Pilihan terbaik ketika itu adalah menjalankan pembedahan bagi meletakkan alat bantu ventrikal kiri (LVAD) kerana keadaan jantung pesakit semakin teruk.

“Ajaibnya, lima hari selepas pemasangan LVAD, kami menerima penderma jantung yang sesuai untuk Daniella,” kata

Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim semasa taklimat media hari ini berkata IJN kini merupakan satu-satunya hospital di Malaysia yang menawarkan pemindahan jantung dan paru-paru serta pemasangan jantung mekanikal yang disokong oleh pasukan pelbagai disiplin yang terlatih.

Daniella Kang bergambar bersama Perunding Kanan Pakar Pembedahan Kardiotoraks Prof. Datuk Dr. Mohamed Ezani Md. Taib dan pasukan perubatan IJN yang menjayakan proses pemindah jantung beliau.

Selepas memperkenalkan pemindahan jantung dan paru-paru di Malaysia masing-masing pada 1997 dan 2005, IJN menjadi yang pertama di negara melakukan pemasangan jantung mekanikal pada 2005 dan pemindahan jantung – paru-paru pertama pada 2007.

Sehingga kini, institut berkenaan berjaya membuat 29 pembedahan pemindahan jantung, enam pemindahan paru-paru, enam pemindahan jantung – paru-paru, 36 pemasangan LVAD dan tujuh prosedur LVAD ke pemindahan jantung.

“Kami gembira meraikan dua kejayaan perubatan ini, terutamanya selepas terhenti dalam pembedahan pemindahan susulan kekurangan penderma organ. Kejayaan ini juga bukti kekuatan komuniti kita. Kami berterima kasih kepada pelbagai pihak yang membantu mengubah kehidupan dua pesakit remaja ini,“ katanya.

Dr Aizai Azan berkata walaupun dua pemindahan jantung terbaharu itu menonjolkan kekuatan IJN dalam menguruskan kes jantung yang kompleks, institut itu juga menekankan keperluan kritikal untuk meningkatkan penyertaan penderma organ di Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi IJN Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan atas sokongan terhadap Program Jantung, Pemindahan Paru-paru dan Jantung Mekanikal IJN.

“Sokongan dan geran kementerian bagi program ini memanfaatkan 77 pesakit setakat ini. Kami berharap kerjasama ini diteruskan untuk membantu menawarkan peluang menyelamatkan nyawa kepada lebih ramai pesakit dan amat mengalu-alukan kerjasama dengan sektor korporat bagi tujuan ini,“ katanya.

Pengerusi (IJN) Sdn Bhd, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah

Mengulangi impak pendermaan organ terhadap individu dan keluarga, Dr Noor Hisham berkata, “Setiap penderma organ yang berdaftar mempunyai potensi untuk mengubah kekecewaan kepada pengharapan. Dengan hanya mendaftar, anda juga dapat menghadiahkan kehidupan kepada pesakit memerlukan”.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 382,000 telah berikrar menjadi penderma organ di Malaysia, namun 0.02 peratus daripada jumlah itu masih enggan menderma organ mereka kerana stigma negatif dan pertikaian keluarga.

“Kerajaan sentiasa memberi geran ataupun dana dan kita mahu kembangkan dan majukan lagi pendermaan organ seperti negara Turkiye yang maju dalam pemindahan organ,” katanya yang berharap ramai tampil untuk menjadi penderma organ. – SM

Artikel berkaitan > Anwar ziarah Abdul Hadi, Ziauddin Sardar di IJN

(Visited 246 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button