Jenayah

Operasi di Malaysia tapi berjudi di China

SATU sindiket yang beroperasi di ibu negara tetapi mempromosikan judi online (JOL) bagi pasaran China dengan menggunakan aplikasi WeChat, Whatsapp dan QQChat akhirnya tumpas selepas diserbu polis.

Sindiket tersebut akan menghantar ratusan pesanan WeChat, Whatsapp dan QQChat kepada pelanggan di negara China dan telah beroperasi selama lebih kurang dua bulan.

Malah, sindiket tersebut juga mampu menampung sewa seunit kondominium yang berjumlah RM6,5000 sebulan dan membayar upah pekerja sebanyak RM2,500 hingga RM3,000.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur telah melakukan empat serbuan di sebuah kondominium di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

“Kita telah menyerbu beberapa unit rumah di kondominium tersebut bermula pukul 5.30 petang hingga pukul 9 malam.

“Seramai 42 warganegara China termasuk dua wanita telah ditahan dalam kesemua serbuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, siasatan mendapati premis beroperasi pada setiap hari bermula 9.00 pagi hingga 9.00 malam dan pekerja sindiket akan mengawal komputer utama serta telefon bimbit.

Ujarnya, selain tangkapan, pihaknya turut merampas beberapa peralatan komputer dan telefon bimbit yang digunakan sindiket tersebut yang dianggarkan berjumlah RM350,000.

“Semua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Wangsa Maju untuk siasatan dan direman selama 14 hari bermula hari ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.

Mazlan turut meminta kerjasama orang yang untuk menyalurkan maklumat memandangkan sindiket ini memilih kondominium mewah dan banglo sebagai tempat beroperasi.

Tambahnya, jika terdapat sebarang kegiatan yang mencurigakan boleh berhubung terus dengan Bilik Gerakan Khas 24 Jam JSJ Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau menghubungi mana–mana Balai Polis berdekatan. -SM

(Visited 378 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button