NasionalNegeri

OKU berkemahiran TVET berpotensi kerjaya masa hadapan – Raja Muda Perlis

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Orang Kurang Upaya (OKU) yang mempunyai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mempunyai potensi besar untuk kerjaya masa hadapan dan pembangunan sosio-ekonomi negara.

Baginda bertitah, dengan adanya pelbagai latihan dan kemahiran yang ditawarkan oleh Politeknik dan Kolej Komuniti pastinya dapat melatih golongan OKU untuk berdikari dan berkhidmat kepada masyarakat.

Dalam titah, Tuanku Syed Faizuddin yakin golongan OKU mampu memainkan peranan penting dalam pemerkasaan modal insan ke arah Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) yang berasaskan kemahiran teknologi tinggi agar komuniti OKU ini tidak terpinggir.

Baginda bertitah demikian pada majlis Penutupan Karnival Sayang PolyCC di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pauh Putra hari ini.

Keberangkatan tiba Tuanku Raja Muda bersama-sama Raja Puan Muda Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Zainab Ahmad dan Pengarah PTSS Mejar (Kehormat), Abdul Malek Hassan.

PTSS memegang slogan “Peneraju Institusi TVET yang Unggul” bekerjasama dengan Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar JPPKK dalam penganjuran karnival pada kali ini yang juga merupakan kali pertama pelajar-pelajar istimewa dari Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh Malaysia dikumpulkan dalam satu program.

Raja Muda dalam titah percaya program-program seperti ini dengan pelbagai acara yang telah disusun serta dilaksanakan, semuanya akan menjadi nilai tambah yang amat berguna kepada pelajar-pelajar istimewa ini sama ada daripada segi ilmu, pengalaman, hubungan sosial dan seumpamanya.

Baginda juga menzahirkan ucapan syabas atas kecekalan para peserta yang telah memilih untuk menyambung pengajian di Politeknik atau Kolej Komuniti dan tidak hanya menanti dan menangisi takdir.

“Mereka telah membuktikan bahawa mereka adalah insan hebat dan mampu berada dalam institusi pengajian tinggi,” titah Baginda.

Turut diadakan ialah perasmian Pusat Aktiviti Pelajar di Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti PTSS yang disempurnakan perasmiannya oleh Tuanku Raja Puan Muda.

Sementara itu, V Yilamaran dari Politeknik Ibrahim Sultan dinobatkan sebagai Ikon Pelajar Istimewa POLYCC 2022. – SM

(Visited 772 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button