fbpx
Nasional

Nyawa lebih utama daripada impak coronavirus terhadap ekonomi

Oleh BERNAMA

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng hari ini menegaskan bahawa aspek nyawa perlu menjadi intipati utama dalam usaha menangani jangkitan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) berbanding impak penyakit itu terhadap ekonomi negara.

Lim berkata pada masa ini nyawa, keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia menjadi agenda utama dan langkah perlu difokuskan kepada mengatasi permasalahan Koronavirus itu terlebih dahulu.

“Tentu ada impaknya kepada ekonomi, tetapi biarlah kita mengatasinya dahulu dan baru selepas itu kementerian kewangan akan bincangkan impaknya terhadap ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 Parlimen Bukit Bendera di sini, hari ini.

Dalam pada itu Lim turut meminta semua rakyat Malaysia mengikuti garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan serta tidak terpengaruh dengan berita palsu berhubung laporan Koronavirus.

“Janganlah percaya berita-berita palsu, kerana ini akan menjadikan keadaan lebih huru-hara dan porak-poranda. Marilah kita terus bersatu untuk menghadapi dan mengatasi cabaran gejala Koronavirus ini. Sekiranya kita percaya kepada berita palsu ini, ia akan menjejaskan kehidupan harian.

“Percayalah kepada kepakaran profesionalisme doktor-doktor, pakar-pakar, jururawat serta kementerian kesihatan. Mereka telah menjalankan tugas mereka dengan baik dan Kementerian Kewangan akan memberikan sepenuhnya sokongan kepada Kementerian Kesihatan,” katanya.

Terdahulu Lim berkata, Kementerian Kewangan akan memberikan segera peruntukan tambahan untuk 12 pengimbas suhu seperti dinyatakan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Kementerian Kewangan akan berbuat apa sahaja seperti yang dipinta kementerian kesihatan demi memastikan rakyat dan negara selamat dan bebas daripada virus itu.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan bersama agensi yang terlibat Jumaat ini untuk menggariskan langkah-langkah yang akan diambil bagi mencegah jangkitan berkenaan.

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. 'Kehilangan' jurukamera ketika bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah penulis lupakan.

Related Articles

Back to top button