Nasional

Hanya tinggal seorang jemaah tabligh tempatan terkandas di India

Tinggal seorang sahaja lagi jemaah tabligh (JT) rakyat tempatan yang terkandas di India selepas lapan daripadanya tiba di tanah air pada pukul 3.58 petang tadi.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kesemua mereka tiba selepas Mahkamah Tinggi Patna, Bihar memutuskan untuk membatalkan pertuduhan menyalahguna pas lawatan sosial ke atas mereka.

“Dengan kepulangan lapan ahli JT ini, terdapat hanya seorang ahli JT rakyat tempatan yang masih
menunggu keputusan Mahkamah terhadap kes beliau di Kishanganj, India.

“Kementerian Luar Negeri, menerusi Perwakilan Malaysia di New Delhi, India akan terus memantau perkembangan kes ini secara rapat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyelaras usaha membawa pulang ahli JT tersebut selepas pembebasan beliau kelak,” katanya.

Kamarudin yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 berkata, pihaknya telah berjaya membawa pulang seramai 188 daripada 189 orang ahli JT yang berada di India.

Ujar beliau, sebelum ini sebanyak  180 ahli JT rakyat Malaysia telah dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) pada tahun lepas.

“Selaras dengan peraturan semasa yang berkuatkuasa, kesemua JT yang dibawa pulang ke tanah air akan menjalani kuarantin selama 10 hari di Stesen Kuarantin (QS) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Kita turut merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada semua agensi Kerajaan yang terlibat, terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas kerjasama dan komitmen berterusan yang diberikan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan turun mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan India yang terus membantu urusan kepulangan mereka. -SM

(Visited 339 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button