Politik

Penggantungan Parlimen bertentangan dengan matlamat darurat

PENGGANTUNGAN Parlimen seperti diumum dalam Proklamasi Darurat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, didakwa tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Malah, penguatkuasaan Perintah Darurat yang dimaklumkan juga hanyalah bertujuan untuk menangani krisis kesihatan.

Selain itu, Muhyiddin memaklumkan pentadbiran ketika darurat bukanlah rampasan kuasa tentera dan kerajaan awam pula dikatakan berfungsi seperti biasa.

Oleh demikian kerajaan tidak sepatutnya menggantung Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti yang diumum, malah ia dikatakan dua perkara berbeza dari sudut undang-undang.

“Dari perspektif undang-undang Proklamasi Darurat dan penggantungan Parlimen adalah dua perkara yang berbeza.

“Yang di-Pertuan Agong telah bersetuju mengeluarkan satu Proklamasi Darurat di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan setelah berpuas hati dengan nasihat yang dikemukakan oleh Perdana Menteri dan Kabinet.

“Proklamasi Darurat hanya setakat itu sahaja, tidak menyentuh penggantungan Parlimen Malaysia.

“Tetapi untuk menggantung Parlimen, Perdana Menteri mesti mengemukakan alasan-alasan yang khusus dan kukuh kepada Agong mengapa Parlimen Malaysia sekarang perlu digantung.

“Muhyiddin telah gagal mengemukakan alasan-alasan tersebut.

“Perlu dinyatakan dengan jelas di sini, menurut Perlembagaan Persekutuan bahawa Proklamasi Darurat tidak membawa kesan automatik Parlimen mesti digantung.Ia melibatkan dua isu yang berbeza.”

Demikian kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dalam satu kenyataan menerangkan tiada keperluan penggantungan Parlimen bagi menguatkuasakan Proklamasi Darurat.

Malah, beliau menambah, Perkara 150(2B) dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan, Parlimen boleh bersidang ketika Proklamasi Darurat berkuatkuasa.

Katanya, begitu juga Perkara 150(3) menyatakan ‘Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen…’.

Justeru, beliau mendakwa Parlimen sepatutnya masih berfungsi.

Hassan yang juga wakil rakyat daripada PKR itu turut memaklumkan penggantungan Parlimen yang pernah dibuat adalah pada tahun 1969 hingga 1971.

Namun, itu hanyalah melibatkan pentadbiran negara separa tentera apabila Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan selepas tragedi politik 13 Mei 1969.

“Tetapi fakta menyatakan dengan jelas bahawa Muhyiddin sendiri mengakui secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa Kerajaan Darurat yang diketuainya ialah kerajaan awam bukannya kerajaan tentera.

“Badan Eksekutif yang mentadbir negara sekarang ialah Jemaah Menteri bukannya badan separuh tentera seperti Mageran.

“Jadi kesimpulannya, Parlimen Malaysia penggal Keempat belas hasil dari Pilihanraya Umum 9 Mei 2018 ini tidak digantung.

“Tindakan Muhyiddin Yassin untuk menggantung Parlimen Malaysia adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan. Ia mesti dicabar dan ditentang,” tegasnya.

Tedahulu, Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua Ahli Parlimen mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Tindakan tersebut adalah bagi meminta baginda membatalkan Proklamasi Darurat yang diperkenankan pada 11 Januari.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut memohon kepada Agong supaya menitahkan sidang Parlimen diadakan sebelum 31 Januari untuk membahaskan isu darurat, Covid-19 dan isu ekonomi. – SM

(Visited 368 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button