PolitikPRK

Normal baharu PRK Chini mudah

KEBIASAAN baharu yang perlu dipatuhi ekoran pandemik wabak COVID-19 pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dirasakan tidaklah membebankan pengundi, sebaliknya lebih memudahkan pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.

Pengundi yang ditemui Bernama mengakui kebiasaan baharu menjadikan proses pengundian berjalan lancar dan lebih pantas, jika hendak dibandingkan dengan pengalaman mereka mengundi pada beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

Seorang pengundi Orang Kurang Upaya (OKU) Mohd Ali Ismail Ideris, 32, yang mengundi di Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Felda Chini 3 dekat sini juga berharap beberapa pembaharuan yang dibuat pada PRK itu dapat diteruskan masa akan datang kerana ‘lebih mesra’ kepada golongan sepertinya.

“Hari ini saya datang mengikut waktu cadangan diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan saya tak perlu menunggu lama. Semuanya selesai dalam tempoh kurang 10 minit walaupun perlu melalui saringan suhu dan sebagainya.

“Mudah sebab sudah tahu saluran mana hendak dituju. Kalau dahulu, saya pernah menunggu selama setengah jam untuk menunggu giliran (mengundi) walaupun datang seawal jam 8 pagi kerana semua orang tiba di pusat mengundi pada waktu yang sama,” katanya kepada Bernama.

Mohd Ali Ideris yang kehilangan kaki kanan akibat kemalangan motosikal 12 tahun lalu menambah bantuan daripada kakitangan SPR amat membantu walaupun terdapat beberapa ‘aturan’ baharu pergerakan dalam pusat mengundi bagi mengelakkan pengundi bersesak di tempat sama.

Bagi warga emas Felda Chini 3, Salmah Sidek, 76, yang menggunakan kerusi roda pula berkata pengalaman mengundi pada hari ini, menjadi pengalaman baharu kepadanya sejak mula menunaikan tanggungjawab itu sejak usia 20-an.

“Mudah kerana ada orang (kakitangan SPR) tolong bantu termasuk memakaikan sarung tangan sebelum saya mengundi… kalau sebelum ini, jari dicelup ke dalam dakwat kekal selepas selesai (mengundi), tapi kali ini mereka gunakan berus untuk menyapu dakwat ke jari. Lain sikit sahaja,” katanya.

Bagi pekerja swasta, Mohd Asrul Ishak, 39, yang bertolak dari Cheras, Kuala Lumpur pada 4 pagi tadi untuk mengundi juga memuji perjalanan proses pengundian hari ini kerana ‘susunan yang cantik’ sehingga tidak ada berlaku kesesakan di mana-mana bahagian dalam pusat mengundi.

Ini, menurut Mohd Asrul termasuklah di khemah saringan suhu, ruang menunggu dan kaunter rekod kehadiran selain kehadiran anggota polis untuk mengingatkan semua pengundi supaya menjaga aspek jarakan sosial.

“Daripada masuk sehingga keluar pusat mengundi, kakitangan SPR amat membantu. Kami juga tidak bimbang untuk keluar ke tempat awam dalam situasi wabak kerana semua aspek berjaga-jaga sudah diambil kira pihak terlibat. Perjalanan hari ini memang kemas dan harap diteruskan walaupun selepas tamat wabak COVID-19,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengundi Wan Mahani Wan Ali, 66, berkata beliau keluar mengundi mengikut tempoh masa cadangan pada Kad Pengundi diterimanya iaitu antara 8 hingga 10 pagi, kerana bimbang terpaksa bersesak jika hadir luar daripada waktu yang diberikan.

Katanya, anak-anaknya yang turut mengundi di Felda Chini 2 bagaimanapun akan keluar mengundi selepas pukul 10 pagi, selain beliau juga beberapa kali mengingatkan mereka untuk mematuhi tempoh masa cadangan tersebut.

“Kami bimbang dengan COVID-19. Penyakit ini bukan perkara main-main dan sudah pasti setiap keputusan dibuat (SPR) ada sebabnya. Kita hanya keluar mengundi dan ikut sahaja apa yang mereka suruh seperti pakai pelitup muka. Tak susah mana pun untuk ikut,” katanya.

PRK DUN Chini menyaksikan Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan generasi kedua Felda Chini, Mohd Sharim Md Zain, 41, untuk mempertahan kerusi DUN itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan dua calon Bebas iaitu ahli perniagaan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang merupakan penulis blog.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu. Abu Bakar merupakan penyandang kerusi DUN Chini sejak PRU11 pada 2004.

Pada PRU14 lalu, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065). – BERNAMA

(Visited 62 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button