Sukan

Noraseela wanita pertama sandang jawatan Presiden MOA

SEKALUNG tahniah buat bekas pelari berpagar wanita negara, Noraseela Mohd. Khalid yang melakar sejarah apabila menjadi wanita pertama dinobatkan sebagai Presiden Persatuan Olympian Malaysia (MOA).

MOA dalam kenyataan mengumumkan, pelantikan Noraseela bersama tujuh lagi penyandang jawatan MOA bagi penggal 2020-2022 tanpa melalui proses undian kerana pencalonan mereka tidak dicabar.

Pelantikan Noraseela diumum oleh bekas Presiden MOA, Karu Selvaratnam semasa Mesyuarat Agung Tahunan persatuan itu yang berlangsung secara maya pada 21 November lalu.

“Majoriti ahli jawatankuasa (exco) sedia ada termasuk Presiden yang juga merupakan bekas pelari pecut negara, Karu Selvaratnam membuat keputusan untuk berundur dan menolak untuk terus memegang jawatan mereka.

“Tidak ada cabaran bagi mana-mana pencalonan jawatan exco baharu dan tiada pengundian diperlukan kerana mereka semua tidak dicabar.

“Terdapat beberapa muka baharu dan buat pertama kali dalam sejarah MOA, seorang Presiden wanita telah dilantik,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain pelantikan Noraseela sebagai Presiden persatuan itu, bekas pemain hoki kebangsaan, Mohan Jiwa dilantik sebagai Timbalan Presiden diikuti atlet taekwondo, Che Chew Chan sebagai Setiausaha Kehormat MOA.

Penyandang lain termasuk bekas atlet jalan kaki kebangsaan, Annastasia Karen Raj sebagai Naib Presiden serta bekas pemain badminton negara, Ong Ewe Hock.

Turut dilantik, bekas pemanah negara, Mon Redee Sut Txi dan perenang kebangsaan, Phee Jinq Ende dengan masing-masing sebagai ahli jawatankuasa MOA.

Mengulas pelantikan itu, Noraseela berkata, beliau amat berbesar hati dan akan memberi tumpuan kepada satu daripada sasarannya untuk persatuan tersebut iaitu mewujudkan kesedaran mengenai kewujudan MOA.

“Saya memahami tanggungjawab yang perlu dipikul oleh saya dan ahli jawatankuasa.

“Kami mempunyai kekuatan jika bekerja sebagai satu pasukan dan jelas bahawa kepelbagaian latar belakang dalam kalangan ahli akan memberi manfaat kepada persatuan,” katanya. – SM

(Visited 203 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button