Rencana

Noraini, ahli politik contohilah Maszlee, Kit Siang

KESIAN juga melihat Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr. Noraini Ahmad dibelasah di media sosial gara-gara lewat membuat pengumuman berhubung penangguhan pendaftaran kemasukan pelajar ke IPTA.

Bagaimanapun rasa simpati itu bertukar geram. Mana tidaknya, di saat menteri dibelasah secukup-cukupnya di Facebook dan Twitter namun media sosial milik mereka senyap membisu. Dalam tempoh 24 jam tidak ada satupun reaksi balas menteri.

Sedangkan sejurus selepas Kementerian Pengajian Tinggi membuat pengumuman beribu-ribu ciapan keluh-kesah pelajar dan ibu bapa di Twitter.

Mereka menyuarakan kesulitan yang dihadapi. Kos pengangkutan dan kos penginapan yang terpaksa dikeluarkan untuk mendaftar di pusat pengajian tinggi.

Tiba-tiba ada IPT yang tidak membenarkan mereka masuk mendaftar disebabkan pengumuman lewat yang dibuat.

Noraini, menteri atau ahli politik yang lain belajarlah dari Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Simpang Rengam Dr. Maszlee Malik. Lihat bagaimana mereka menggunakan media sosial semaksimanya.

Maszlee misalnya dalam tempoh 24 jam berjaya mengumpul RM110,998.89 daripada orang awam untuk membantu mahasiswa yang menghadapi kesukaran akibat pengumuman tersebut. Dia menerima lebih dari 3,000 permohonan daripada mahasiswa untuk bantuan kilat tersebut.

Syed Saddiq melalui parti Mudanya pula berjaya mengutip RM51,145.92 daripada orang awam dalam tempoh tiga jam juga untuk membantu mahasiswa.

Mereka mengutip dana dari orang ramai dengan hanya merayu di Twitter. Ya melalui Twitter!

Di mata mahasiswa mereka kini adalah ‘wira’. Kedua-duanya bijak menggunakan kesempatan ‘kesilapan menteri’ untuk menampil dan menonjolkan diri di media sosial.

Contohilah juga Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang sentiasa memberi reaksi apabila ditanya dan dikritik di media sosial.

Jadilah juga seperti Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa menggunakan media sosialnya untuk memberitahu ‘kebenaran’ dari kaca matanya sendiri selepas dicemuh oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad atau disalah lapor oleh media.

Ikuti jejak Penasihat DAP Lim Kit Siang atau pemimpin DAP lain yang tidak putus-putus menulis memberi pandangan dan kritikan di media sosial masing-masing apabila ada sesuatu isu.

Media sosial terutama Facebook dan Twitter adalah cara paling mudah untuk anda memberitahu, mengumumkan, membetulkan salah faham dan kesilapan dengan segera.

Malang sekiranya ahli politik terutama menteri tidak  mengendahkan media sosial untuk berkomunikasi dengan rakyat. Maka masyarakat yang semakin celik IT akan semakin menjauhkan diri dari anda.

Lebih malang jika anda dikritik di media sosial, anda hanya senyap.

Ada media sosial, jawablah. Ada media sosial, terangkan. Jangan tunggu wartawan tanya untuk paparan media aliran perdana sahaja.

Setiap detik anda abaikan selepas dikritik dan dipersoalkan di media sosial semakin jatuh kredibiliti anda. Sedangkan anda mempunyai media sosial dihujung jari untuk menjawab serta-merta dengan percuma! -SM

 

(Visited 243 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button