Politik

Anwar kembali ke perhimpunan agung UMNO

BEGITULAH POLITIK. Selepas dipecat daripada UMNO 25 tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal kembali ‘menjejakkan kaki’ ke perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 pada 9 Jun ini.

Kali terakhir beliau berucap pada PAU adalah pada tahun 1998 sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, selain Perdana Menteri, PAU kali ini juga menyaksikan keunikan apabila 19 presiden parti yang bergabung di bawah Kerajaan Perpaduan turut dijemput untuk hadir.

“Ini merupakan saat bersejarah kepada PAU yang akan disertai pelbagai parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Seperti kebiasaan, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menyampaikan ucapan dasar Presiden,” katanya pada sidang media di sini, pada Jumaat.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang akan bermula pada 7 Jun nanti menyaksikan pertambahan perwakilan apabila Ketua-ketua Penerangan UMNO bahagian serta sayap termasuklah Ketua Penerangan Wanita akan hadir ke perhimpunan agung parti tersebut.

Asyraf berkata seramai 6,351 perwakilan akan terlibat bagi menjayakan perhimpunan agung parti tahun ini dan seperti biasa ianya bermula dengan acara perasmian sayap oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Rabu, 7 Jun, 9.00 malam.

Namun sebelum itu, pada pukul 10 pagi hari yang sama akan ada sesi penerangan khas bersama seluruh penerangan UMNO Malaysia yang akan dihoskan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Pada sebelah petang pula, Taklimat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diadakan secara tertutup membabitkan semua perwakilan.

“Perhimpunan Wanita dan Pemuda serta Puteri akan berlangsung serentak pada Khamis bermula pukul 8 pagi. Untuk Wanita UMNO, perhimpunan akan diadakan di Dewan Merdeka, Pemuda di Dewan Tun Razak manakala Puteri di Dewan Tun Hussein.

“Pada sebelah malamnya pula akan diadakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) khas dan keesokannya perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2023 yang bermula dengan acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa,” katanya.

Pada sidang media sempena PAU 2023 turut serta Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan dan Setiausaha Wanita dan Pemuda serta Puteri UMNO.

Asyraf seterusnya menambah pada tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan akan turut menghadiri PAU 2023.

Dalam perkembangan sama beliau turut memberitahu karnival jualan akan turut diadakan sempena PAU 2023.

“Kita juga menyediakan ruang niaga di aras dua dan oleh itu kitamengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk turut sama memeriahkan PAU 2023 kali ini.

“Seperti biasa juga, kita turut menyediakan laman media untuk pengamal-pengamal media yang membuat liputan sepanjang PAU 2023 berlangsung,” ujarnya.

Dalam pada itu, Asyraf turut menyatakan sepertimana kebiasaan perbahasan akan turut menyentuh soal-soal yang melibatkan kepentingan dan agenda rakyat.

(Visited 210 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button