BanjirNasional

PM setuju cadangan NADMA urus bencana banjir

MESYUARAT Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah bersetuju dengan lapan langkah strategik menambahbaikan pengurusan bencana negara.

Lapan langkah yang digariskan adalah seperti berikut:

i. Pemerkasaan Dasar, Perundangan dan Mekanisme Berkaitan Pengurusan Bencana & Pengurangan Risiko Bencana (DRR)

ii. Penekanan Terhadap Inisiatif DRR.

iii. Penyediaan Dana untuk Pengurusan Bencana dan DRR.

iv. Pengukuhan Mekanisme Koordinasi dan Kompetensi Stakeholders Pengurusan Bencana

v. Penambahbaikan Sistem dan Penyampaian Maklumat di dalam Pengurusan Bencana dan DRR.

vi. Pemerkasaan Dasar dan Mekanisma Koordinasi Bantuan NGO dan Sukarelawan

vii. Peningkatan Kemahiran di dalam Komunikasi Krisis dan Komunikasi Strategik

viii.Peningkatan Kapasiti Komuniti Setempat dan Tumpuan Terhadap “Localization” di dalam Pengurusan dan DRR.

Perdana Menteri berkata, lapan langkah yang digariskan oleh Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang turut hadir dalam mesyuarat yang diadakan secara telesidang semalam adalah bagi membincangkan secara terperinci situasi dan penilaian awal After Action Review (AAR) Monsun Timur Laut.

Beliau berkata, kesan daripada bencana banjir mengakibatkan negara mengalami kerugian RM6.1 bilion akibat kerosakan aset awam dan infrastruktur, tempat kediaman, kenderaan, sektor pembuatan, premis perniagaan dan sektor pertanian.


“Justeru masalah ini harus diselesaikan secara tuntas dan Kerajaan tidak mahu lagi melihat bencana banjir menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat,” kata Ismail Sabri dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perluasan dasar DRR di peringkat negeri dan daerah dapat memastikan pengurusan bencana banjir dapat dipertingkatkan berikutan satu platform yang diwujudkan bagi menyimpan semua repositori daftar risiko secara sistematik.

Sehubungan itu, kata beliau, Kementerian dan Agensi juga turut disaran membuat penetapan sebanyak lima peratus daripada perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi tujuan pengurusan bencana pada masa akan datang.

Kata Perdana Menteri lagi, ini penting bagi persiapan perbelanjaan persediaan bencana, pemulihan dan pasca bencana serta pencegahan dan mitigasi risiko bencana.

Tambah beliau, Kerajaan sedar akan perubahan iklim yang turut menjadi salah satu faktor kepada bencana banjir di negara ini.

“Dalam hubungan ini, pewujudan subjek utama dalam menangani bencana di pelbagai peringkat pendidikan, sekolah, kolej dan universiti akan dilaksanakan agar seluruh Keluarga Malaysia dapat mengadaptasi perkara ini sebagai norma baharu,” ujarnya.

Pada mesyuarat yang sama juga bersetuju dengan penekanan terhadap konsep ‘whole of society approach’ yang perlu diterjemahkan dalam dasar, pengoperasian dan latih amal bencana dengan penglibatan bersama agensi kerajaan dan Organisasi Masyarakat Sivil (CSO).

Pada masa yang sama,  kata Ismail Sabri, pemerkasaan kapasiti komuniti setempat akan dipertingkatkan melalui ketua komuniti yang akan bertindak sebagai initial responder.

“Mereka akan dibekalkan dengan kelengkapan asas dan bantuan untuk melaksanakan tindakan awal,” katanya.

Kata Ismail Sabri lagi, mesyuarat secara dasarnya turut bersetuju dengan cadangan jangka pendek dan jangka panjang yang dikemukakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk menyelesaikan masalah banjir.

Antaranya, kata Ismail Sabri ialah mengenalpasti Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tetap dan melengkapkannya dengan kemudahan seperti tandas, bilik mandi dan stor untuk penyimpanan barangan keperluan asas bagi mangsa banjir seperti tilam dan khemah.

“Bagi sekolah berasrama yang dijadikan sebagai PPS, kawasan asrama akan dijadikan kawasan penempatan mangsa banjir,” jelas beliau.

Katanya, Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diberikan tanggungjawab untuk memastikan saluran perparitan dalam keadaan baik.

“Menaiktaraf, mendalamkan dan melebarkan sungai-sungai utama, meninggikan benteng dan ban sungai serta parit, membina lebih banyak tebatan banjir juga antara cadangan yang dikemukakan oleh KASA untuk menyelesaikan masalah banjir.

Membina empangan dan stesen pintu kawalan air (baraj) bagi mengawal kenaikan paras air, membina terowong SMART terutama di bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Shah Alam, Selangor dan membangunkan kawasan penempatan berdaya tahan seperti ‘sponge city’ di China juga dicadangkan oleh KASA.

Selain itu, takungan air atau ‘kota takungan pinggir sungai’ seperti di Belanda disarankan diwujudkan selain daripada mewujudkan Pusat Ramalan Cuaca Numerikal Kebangsaan.

Ismail Sabri berkata, peruntukan untuk penyelesaian secara komprehensif ini memerlukan peruntukan yang besar melibatkan ratusan bilion ringgit yang memakan masa panjang.

“Oleh itu mesyuarat bersetuju supaya kerajaan memfokuskan terhadap kawasan berisiko tinggi dan diberikan keutamaan untuk melaksanakan pelan penyelesaian masalah banjir,” katanya. – SM

(Visited 251 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button