Nasional

Azmin lantik Mustapa sebagai Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera

AHLI Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilantik sebagai Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) untuk tempoh dua tahun.

Menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, pelantikan tersebut telah dipersetujui oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Azmin berkata,  Mustapa merupakan seorang tokoh yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekonomi, kewangan, pendidikan dan perdagangan.

Justeru pelantikan Mustapa bersesuaian dengan peranan Teraju sebagai sebuah agensi ulung untuk meneraju, memacu dan menyelaras penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara.

Beliau yakin Mustapa dapat membawa agenda ekonomi Bumiputera seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Dengan kepimpinan yang baharu ini, saya pasti usaha berterusan yang akan dilaksanakan oleh Teraju akan meningkatkan daya saing Bumiputera sekaligus memantapkan lagi kedudukan Bumiputera dalam ekonomi negara.

“Selain daripada sudut ekonomi, Teraju mempunyai peranan yang besar dalam menjamin kesejahteraan hidup serta mengangkat martabat Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi,” kata Azmin.

Ahli Parlimen Jeli itu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 26 Oktober 2018 selepas keluar dari UMNO pada 18 September tahun yang sama, selepas Barisan Nasional tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

Pada waktu tersebut, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, keputusannya untuk menjadi anggota Bersatu dibuat setelah melakukan penelitian selama beberapa minggu sebagai Anggota Parlimen Bebas dan perkembangan politik semasa.

Mustapa pernah berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (2009-2018), Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2008-2009), Menteri Pengajian Tinggi (2006-2008), Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri (2004-2006), Menteri Kewangan 2 (1998-1999), Menteri Pembangunan Usahawan (1995-1999) dan Timbalan Menteri Kewangan (1993-1995).-SM

(Visited 237 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button