Berita

Malaysia dijangka capai 80% sasaran vaksinasi populasi dewasa Isnin ini

MALAYSIA semakin menghampiri sasaran vaksinasi 80% yang ditetapkan untuk populasi dewasa lebih awal daripada dijadualkan ketika hampir 18.13 juta atau 77.5% individu dalam kumpulan itu sudah menerima vaksin lengkap, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut data dikeluarkan KKM di laman web Covidnow, sebanyak 238,002 dos vaksin diberikan semalam di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan 75,986 orang menerima suntikan pertama dan 162,016 mendapat suntikan kedua.

Ia menjadikan jumlah dos vaksin diberikan di bawah program ini kepada 39,923,416.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan menjangkakan 80% populasi dewasa akan diberi vaksin pada akhir Oktober dan ketika itu Covid-19 akan menjadi endemik.

Namun, menurut unjuran CovidNow dijangka 80% kadar vaksinasi populasi dewasa dapat dicapai dalam masa tiga hari, iaitu 20 September – hampir sebulan lebih awal daripada dijadualkan, sementara kadar vaksinasi 100% bakal dicapai pada 7 November.

Lembah Klang, yang merangkumi Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya, mendahului kadar vaksinasi dengan 105.6% populasi dewasa sudah lengkap divaksinasi.

Peratusannya melebihi 100% kerana statistik populasi dari Jabatan Perangkaan tidak mengambil kira perubahan ukuran penduduk sejak bancian terakhir dan penduduk tiada dokumen.

Sabah mempunyai peratusan orang dewasa yang divaksinasi lengkap terendah iaitu 53.7%. Bagaimanapun, angka itu menunjukkan peningkatan setiap hari.

Secara keseluruhan, 66.9% populasi, termasuk remaja berusia 12-17 tahun, mempunyai sekurang-kurangnya satu dos dan 55.5% diberi vaksin penuh. – 18 September, 2021.

(Visited 228 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button