Nasional

NGO Islam Perlis buat laporan polis terhadap 4 individu

Isu kanak-kanak adik beradik memeluk Islam

BEBERAPA badan bukan kerajaan (NGO) dan individu Islam di Perlis sepakat membuat laporan polis ke atas empat individu yang didakwa cuba mencampuri urusan berkaitan Islam.

Empat individu yang dimaksudkan itu adalah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P.  Ramasamy, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Pulau Pinang, M. Satees, Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai, P. David Marshel dan aktivis, Arun Dorasamy.

Kesemua NGO dan individu yang membuat laporan polis itu berkumpul di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar selepas selesai membuat laporan polis petang tadi.

Salah seorang individu yang turut sama membuat laporan polis, Pengurus Operasi One Centre Malaysia Perlis, Marcellus Mourine berkata, laporan dibuat terhadap empat individu berkenaan kerana dilihat cuba mengapi-apikan berkaitan isu tiga beradik yang memeluk Islam di Perlis.

Beliau berkata, pada awalnya ia bermula sebagai kes dalaman keluarga dan menjadi tular apabila diberi publisiti oleh media yang tidak bertanggungjawab termasuk empat individu berkenaan yang didakwa turut campur berkaitan urusan orang Islam.

Katanya lagi, antara isi kandungan laporan yang dibuat ialahapabila empat individu ini mengkritik dan mempersoalkan Enakmen Pentadbiran Islam Perlis sedangkan mereka, orang bukan Islam yang sama sekali tiada kaitan langsung dengan enakmen ini.

“Mereka juga telah mempersoalkan proses penggubalan enakmen ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah diperkenan Raja Perlis,” katanya.

Beliau berkata, mereka juga telah mendesak supaya Mufti Perlis memurtadkan ketiga-tiga kanak-kanak muallaf tersebut yang menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang Islam.

Selain itu, Marcellus berkata, mereka telah menggunakan media cetak dan media sosial dengan memutar-belitkan fakta yang sebenar dan membuat satu pembohongan seolah-olah kanak-kanak muallaf tersebut telah diculik dan dipaksa memeluk agama Islam.

 

“Mereka mengkritik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Mufti, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Jawatankuasa Fatwa sekaligus satu penghinaan terhadap institusi agama Islam di negeri Perlis,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Sadik Mohd. Ismail, bekas Pengarah JAIPs juga menamakan empat individu yang sama dalam laporan polisnya.

Beliau berkata, kandungan laporan itu hampir sama dengan rakan-rakan yang lain di mana beliau melihat keempat-empat individu itu sering terbabit untuk mengapi-apikan isu berkaitan agama Islam.

Lutfi Azhar dari Maahad Tahfiz Ilmu Al-Quran Perlis (MATIQPs) pula berkata, beliau juga sepakat membuat laporan polis yang sama terhadap empat individu berkenaan.

“Sebagai mewakili anak muda maka isu berkaitan akidah perlu dipertahankan kerana ia membabitkan kanak-kanak yang baharu memeluk Islam,” katanya.

Sementara itu jurucakap polis mengesahkan menerima laporan polis dari NGO dan individu berkaitan isu ini sejak semalam. – SM

(Visited 726 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button