Nasional

Next Level Haji! Arab Saudi Sedia Tren Metro Dan AI Untuk 2 Juta Jemaah

KERAJAAN Arab Saudi sekali lagi membuktikan komitmen tinggi mereka dalam meningkatkan mutu pengurusan ibadah haji apabila mengumumkan penggunaan besar-besaran sistem tren metro bagi membantu kelancaran pergerakan jemaah sepanjang musim haji 2025.

Sebanyak 4,900 perjalanan tren dijadualkan sepanjang tujuh hari utama ibadah haji, dengan kapasiti maksimum 72,000 penumpang sejam sehala, menurut laporan rasmi daripada pihak berkuasa pengangkutan Arab Saudi.

Infrastruktur pengangkutan ini melibatkan Al-Mashaaer Al-Mugaddassah Metro Line, atau lebih dikenali sebagai tren kawasan suci yang menghubungkan Arafah, Muzdalifah dan Mina — tiga lokasi penting dalam rukun ibadah haji.

Lebih 2 juta jemaah dijangka menggunakan kemudahan ini, menjadikannya antara sistem pengangkutan haji paling kritikal yang pernah dilaksanakan.

Inisiatif “Haji Tanpa Bagasi”

Bagi meningkatkan lagi pengalaman jemaah, kerajaan turut memperkenalkan inisiatif “Haji Tanpa Bagasi” – satu sistem di mana bagasi jemaah akan dihantar berasingan ke destinasi masing-masing, membolehkan mereka menaiki tren tanpa beban tambahan.

Langkah ini dijangka mengurangkan kesesakan, mempercepatkan perjalanan dan memberikan lebih keselesaan kepada para jemaah.

Teknologi Canggih Diterapkan

Dalam usaha memperkemas pengurusan keseluruhan musim haji, Arab Saudi juga telah menerapkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memantau pergerakan trafik, mengawal aliran orang ramai dan memastikan aspek keselamatan berada pada tahap tertinggi.

25,000 buah bas telah menjalani pemeriksaan keselamatan menyeluruh sebagai sebahagian daripada persediaan logistik berskala besar.

Sementara itu, liputan rangkaian 4G dan 5G di Mekah, Madinah dan kawasan suci kini mencecah 99%, dengan lebih 10,500 titik akses Wi-Fi disediakan bagi memastikan komunikasi antara jemaah dan pasukan keselamatan kekal lancar.

Musim Haji Bermula 4 Jun

Musim haji tahun ini akan bermula pada 4 Jun dan berakhir pada 9 Jun 2025, dengan kehadiran jutaan umat Islam dari seluruh dunia yang dijangka berhimpun di Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima.

Dengan segala persiapan berskala mega ini, Arab Saudi sekali lagi memperkukuh kedudukannya sebagai tuan rumah haji paling efisien dan moden di era digital.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button