BeritaNasional

Kehabisan bateri telefon, pemuda gelandangan tidak tahu ibu meninggal dunia

KISAH seorang anak muda bernama Faizal yang sanggup hidup gelandangan kerana mahu mencuba nasib di kota metropolitan Kuala Lumpur namun menerima berita membabitkan ibunya benar-benar meruntun perasaan netizen.

Apa yang menyedihkan, Faizal anak kampung berasal dari Muar, Johor itu tidak menyedari kehilangan ibu tersayang disebabkan telefon bimbitnya tidak berfungsi berikutan kehabisan bateri.

Dia hanya menyedari perkara tersebut sebaik sahaja dapat menghidupkan kembali telefon bimbitnya. Namun semuanya telah terlambat. Ibunya telah meninggal dunia beberapa hari lalu.

Lebih malang, dia juga tidak mempunya wang untuk pulang semula ke kampung halaman.

Pengalaman pahit yang dilalui Faizal mendapat perhatian netizen apabila rata-rata mereka melahirkan rasa sedih dan berharap anak muda ini tidak berputus asa dan kembali bersemangat.

Antara ciapan yang diterima menerusi Twitter Kechara Soup Kichen yang menyiarkan kisah Faizal ialah daripada K@kM@h yang berharap Faizal kuat dalam melalui kesukaran dihadapinya.

Seorang lagi netizen, Zairvl pula berkata; “Allahuakbar..sedihnya aku baca cerita macam ni. Semoga Allah bagi kekuatan kepada dia dan keluarganya. Dan semoga Allah menyedarkan semua orang yang diberi amanat tetapi lali dengan pangkat dan harta.”

Menurut Pengarah Operasi Kechara Soup Kichen, Justin Cheah, dia bertemu Faizal ketika pertubuhan kebajikan sukarela itu sedang mengedarkan makanan kepada golongan gelandangan dan miskin bandar di Jalan Barat dekat Jalan Imbi pada pagi Jumaat lalu.

“Faizal beritahu telefon bimbitnya sudah beberapa hari tak on sebab kehabisan bateri, jadi Khamis malam baru dapat on selepas dicas.

“Masa itulah dia terima mesej daripada keluarganya memberitahu mengenai ibunya telah meninggal dunia. Faizal beritahu sudah beberapa hari mesej itu dihantar,” katanya seperti dilaporkan mStar.

Sementara itu, tindakan Justin yang menawarkan bantuan untuk mencari pekerjaan kepada Faizal turut mendapat pujian netizen.

Dalam masa sama, terdapat juga beberapa netizen yang menawarkan pekerjaan kepada pemuda itu.

Difahamkan Faizal telah berada di Kuala Lumpur selama tiga minggu malangnya masih gagal mendapatkan pekerjaan dan terpaksa hidup gelandangan di kaki-kaki lima untuk menumpang tidur.-SM

(Visited 363 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button