Hiburan

Artis lama dan baru bersatu dalam dua lagu patriotik

Dua generasi penyanyi menyerlahkan jiwa patriotik mereka apabila menjayakan dua lagu berjudul Janji Merdeka dan Genderang Cinta khusus buat sambutan Hari Kemerdekaan ke-63.

Single berkenaan iaitu Janji Merdeka ciptaan Datuk DJ Dave dan lirik oleh Pui Tiong Gee, manakala sebuah lagu lagi berjudul Genderang Cinta, karya Asfan Shah dan lirik KuAlong.

Single Janji Merdeka membabitkan penampilan penyanyi legenda dan superstar iaitu Datuk DJ Dave, Datuk Awie, Ella, Siti Nordiana dan Siti Sarah.

Untuk lagu Genderang Cinta pula membabitkan penampilan penyanyi muda seperti Wany Hasrita, Aiman Tino, Afieq Shazwan, Luqman Faiz, Neeta dan Asfan Shah.

Kedua-dua lagu itu merupakan Projek Video Kenegaraan Bersama Selebriti dan Media yang telah dihasilkan menerusi terbitan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sempena meraikan Hari Kemerdekaan Ke-63.

BACA> Black Panther meninggal dunia

Kedua-dua video muzik di bawah arahan Izuan Mokhtar ini dihasilkan atas inisiatif memupuk semangat cintakan tanah air melalui perpaduan bangsa.

Mengulas mengenai lagu Janji Merdeka, Dj Dave berkata, karya tersebut adalah luahan kasih sayang terhadap negara dicintai ini.

“Sejauh mana kita berjalan dan berjaya, Malaysia tetap satu-satunya negara tempat kita berpijak dan berpulang. Lagu ini menyuntik semangat dan rasa terima kasih yang tinggi terhadap negara bangsa melalui perjuangan kemerdekaan yang telah digapai oleh nenek moyang kita terdahulu.

“Merdeka itu bukan sekadar laungan, sebaliknya ia memerlukan penghayatan dari seluruh jiwa kepada tempat di mana kita dilahirkan, dibesarkan dan membina seluruh kehidupan,” katanya yang mengambil masa sekitar seminggu menyiapkan karya baharu itu.

DJ Dave turut melahirkan rasa terharu dan bertuah dapat menyumbang suara dalam lagu dan muzik video kenegaraan terbitan FINAS ini.

BACA> Sufian Suhaimi sedia nak kahwin bila-bila masa sahaja

“Ini merupakan inisiatif kerajaan melalui FINAS dalam meraikan sambutan bulan kebangsaan ke-63 serta menyemai semangat mencintai tanah air tercinta,” ujarnya.

Sementara itu, Asfan Shah yang juga komposer muda prolifik pula menganggap peluang yang diberikan oleh FINAS sebagai sesuatu yang bermakna dalam kerjayanya.

“Peluang mencipta sebuah lagu berunsur patriotik kenegaraan begini tidak selalu hadir. Saya sangat teruja berkolaborasi dengan artis baharu dan lama dalam projek kenegaraan ini,” jelas Asfan. -SM

(Visited 671 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button