Parlimen

Kerajaan PN tidak akan anggotai Statut Rom

KERAJAAN Perikatan Nasional akan mengekalkan pendirian kerajaan terdahulu untuk tidak menganggotai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Kamarudin Jaafar berkata, kerajaan amat memahami hasrat majoriti rakyat yang tidak mahu Malaysia menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Kamarudin menjawab soalan Ahli Parlimen Petaling Jaya (PKR) Maria Chin Abdullah di Dewan Rakyat yang meminta Kementerian Luar Negeri menyatakan kedudukan Kerajaan terhadap Statut Rom dan kebarangkalian Kerajaan akan bersetuju menganggotai Mahkamah Jenayah Antarabangsa dalam masa yang terdekat.

“Sebagaimana yang saya maklum dan YB maklum bahawa kerajaan yang dahulu telah menarik diri daripada penyertaan Statut Rom.

“Jadi kalau kerajaan dahulu yang berhormat percaya ada mandat rakyat pun tarik diri setelah memahami hasrat majoriti rakyat ketika itu, maka sudah tentulah kerajaan hari ini amat memahami hasrat rakyat berbanding dengan kerajaan yang kononnya ada mandat rakyat.

“Kita akan memastikan tindakan kita selepas ini sudah tentu berpandukan antara lainnya kepada apa yang majoriti rakyat Malaysia hendakkan,” kata Kamarudin.

Menurutnya, Malaysia di bawah Kerajaan Pakatan Harapan telah menyertai Statut Rome pada 4 Mac 2019.

Walau bagaimanapun kerajaan kemudiannya telah memutuskan supaya Malaysia menarik balik penyertaan dari Staut Rom pada 5 April 2019.

Lanjutan keputusan itu, menurutnya, Kementerian Luar Negeri telah mengemukakan surat penarikan penyertaan Malaysia ke Statut Rom kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 29 April 2019.

Pada 15 Mei 2019 PBB telah mengesahkan penarikan balik penyertaan Malaysia dari Statut Rom yang berkuatkuasa pada 29 April 2019.

Dalam soalan tambahannya, Maria Chin turut bertanya mengenai saluran antarabangsa yang akan digunakan oleh Malaysia berkaitan jenayah terhadap kemanusiaan jika negara tidak menganggotai Statut Rom.

“Soalan berkaitan saluran-saluran antarabangsa dan sebagainya, negara kita melalui Kementerian Luar Negeri dan lain-lain agensi senantiasa aktif di bidang antarbangsa termasuk isu Rohingya, Palestin dan sebagainya,” kata Kamarudin.

Statut Rom adalah satu treati (perjanjian) rasmi antara negara-negara dalam mengiktiraf Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai pelengkap kepada undang-undang sedia ada negara pihak (state party) untuk mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa.

Sehingga 4 Mac 2019 sebanyak 124 negara telah menjadi negara pihak kepada Statut Rom.

Kabinet Perikatan Harapan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad memutuskan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana kekeliruan yang timbul dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu untuk mengheret institusi Raja menentang kerajaan.

Mengumumkan keputusan itu, Dr. Mahathir, berkata ada pihak menjadikan keputusan Malaysia menerima statut itu sebagai isu politik untuk memberi gambaran buruk terhadap kerajaan, khususnya beliau selaku Perdana Menteri.

Dr. Mahathir turut kecewa apabila ada pihak cuba mengheret institusi Raja untuk menentang kerajaan yang didakwa kononnya mahu menyerahkan kuasa kepada negara luar dan menghakis hak serta kekebalan Raja-Raja Melayu.

“Kita tahu (isu) dipolitikkan oleh pihak tertentu yang tujuannya mahu institusi Raja menentang kerajaan sekarang. Sesetengah anggota kerabat diraja mungkin terbabit, tetapi keseluruhan rancangan ini adalah supaya kerabat diraja di Malaysia menentang kerajaan sekarang, itulah motifnya.

“Disebabkan kekeliruan ini, kami membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf statut berkenaan. Bukan kerana kita fikir ia berbahaya, tetapi kerana dipolitikkan. Mereka cakap jika kita tandatangan, kita akan hilang kebebasan, dasar dan undang-undang di negara kita. Ini tak benar.

“Yang benar, kalau kita keterlaluan buat sesuatu yang amat buruk dan tak betul, seluruh dunia akan kutuk kita, sama ada kita tandatangan (Statut Rom) atau sebaliknya,” katanya.-SM

 

(Visited 113 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button