Hiburan

Menara Condong Teluk Intan bergegar!

FESTIVAL Paluan Gendang Malaysia & Tari Joget Pahang 2022 yang berlangsung di Menara Condong, Teluk Intan, Perak baru-baru ini berjaya menggmit lebih 2,000 pengunjung.

Majlis anjuran WAFA Gallery yang berlangsung pada 29 Oktober lalu diadakan bagi menyemarakkan seni dan budaya melalui dana geran sepadan yang diberikan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Festival yang gilang gemilang ini turut mendapat kerjasama Persatuan Penulis Peminat Sastera Perak serta JKKN Perak.

Malam Gala Festival Paluan Gendang Malaysia & Tari Joget Pahang ’22 ini dirasmikan Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan MOTAC,  Dr. Tan Awang Besar.

Majlis juga turut dimeriahkan dengan kehadiran Exco Kerajaan Negeri Perak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Pengarah Urusan WAFA Gallery, Syed Yusof Wafa Syed Nordin.

Festival yang julung kali diadakan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran wakil Yang DiPertua Majlis Perbandaran Teluk Intan, Ramdhatun Ajma Jemail.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perak, Abdul Rashid Abdullah, Ketua Pengarah MOTAC, Perak, Asrul Zakaria dan Penghulu, Nor Hisyam Abd Kadir.

Dalam ucapannya, Dr Tan Awang Besar menyeru para penggiat seni agar mengambil peluang melalui dana yang MOTAC sediakan.

“Melalui inisiatif kerajaan dalam memaju dan memartabatkan industri seni, budaya dan warisan, kerajaan telah menyediakan sejumlah besar peruntukan dalam bentuk geran.

“Geran ini bagi penggiat seni, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan-persatuan dapat melaksanakan program-program seni, budaya dan warisan selaras dengan wawasan kerajaan dalam merancakkan gelembung ekonomi di dalam sektor pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berharap, persatuan tidak melepaskan peluang keemasan seperti ini untuk sama- sama menyertai inisiatif kerajaan dan merebut peluang bagi mendapatkan geran dan peruntukan yang disediakan.

Menyingkap acara yang berlaku pada Festival Paluan Gendang Malaysia & Tari Joget Pahang 2022 acara bermula dengan persembahan seni silat gayung Malaysia  oleh anak-anak dari Astaka Kota Nilam.

Seterusnya pengunjung dihiburkan dengan persembahan Raja Syair Nusantara, Roslan Madun dengan dendangan syair serta lagu rakyatnya yang cukup popular sekarang ini iaitu Lemak Manis.

Penyanyi Jamilah Abu Bakar yang popular dengan lagu berirama tradisional, zapin dan keroncong tampil dengan lagu Sayang Di Sayang.

Cikgu Meera atau nama sebenarnya Nur Ameera Nabila Azmi pula menyampaikan lagu Rindu berjudul Merindu.

Jamilah dan Cikgu Meera berduet menyanyikan lagu popular nyanyian Datuk Siti Nurhaliza, Nirmala.

Kamrul Hussin atau lebih dikenali @waklong pensyarah Kanan di Konservatori Muzik Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM, Shah Alam bertindak sebagai konduktor persembahan orkestra muzik tradisional.

Beliau turut mempamerkan persembahan unik pukulan gendangnya bersama anak-anak buahnya.

Antara persembahan gendang yang turut dipamerkan ialah gendang rebana ibu Dikir Barat, gendang India (Tabla), gendang Cina (Shigu), gendang Bhangra (Dhol), gendang Sarawak (Ketubong) dan gendang Sabah (Bajau).

Majlis turut dihangatkan dengan persembahan empat penyanyi, Jamilah, Meera, Roslan Madun dan Zuhairi Ibrahim menyampaikan lagu Ayo Mama, Kemasyhuran, Kurik Kendi dan Joget Pahang sebelum mengakhiri majlis.

Selain joget Pahang, penonton juga dihiburkan dengan persembahan dari artis budaya JKKN Perak dengan tarian India iaitu kolatham dan Cina (tanglung).

Bagi memeriahkan majlis, Festival Paluan Gendang Malaysia & Tari Joget Pahang 2022 diakhiri dengan persembahan joget lambak artis bersama tetamu dan penonton yang berada di sekeliling Menara Condong. – SM

 

 

(Visited 353 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button