Luar Negara

Netanyahu isytihar menang besar pemilihan parti Likud

PERDANA Menteri Israel Benjamin Netanyahu mendakwa partinya memenangi pemilihan pada Khamis, mengetepikan pencabar veteran yang sekian lama menentang kepemimpinannya dalam parti memerintah Israel itu, lapor agensi berita Xinhua.

“Kemenangan Gemilang” tulis Netanyahu menerusi akaun media sosial twitter miliknya.

Keputusan itu menjamin kedudukan Netanyahu di tampuk Parti Likud menjelang pilihan raya umum pada 2 Mac depan.

“Dengan bantuan Tuhan dan dengan bantuan anda,” katanya kepada penyokong.

“Saya akan memimpin Parti Likud ke arah kemenangan gemilang dalam pilihan raya dan akan terus memimpin Israel ke arah pencapaian hebat.”

Rangkaian televisyen Israel, Channel 12 TV melaporkan keputusan awal menunjukkan Netanyahu menang besar apabila mengumpul 70 peratus undi berbanding pencabarnya, Gideon Saar yang mendapat 30 peratus undian.

Keputusan muktamad dijangka diketahui pada Jumaat, kata jurucakap Parti Likud.

Anggota parti mengundi pada Khamis untuk menentukan siapa yang akan mengetuai parti menjelang pilihan raya umum.

Awal Disember, Saar, 53 mengumumkan beliau akan bertanding menentang Netanyahu, 70 yang berdepan dengan tiga kes jenayah rasuah.

Netanyahu didakwa rasuah, menyeleweng dan pecah amanah. Beliau menafikan tuduhan dan menyatakan, pendakwaan itu hanya sebagai suatu sangkaan.

Netanyahu gagal membentuk kerajaan campuran selepas dua pengundian di Israel. Bagaimanapun, andai beliau menang pada pemilihan awal, Netanyahu mungkin terus kekal sebagai perdana menteri sekurang-kurangnya sehingga Mac.

Pilihan raya umum itu yang ketiga buat penduduk Israel dalam tempoh kurang setahun, disebabkan kebuntuan politik yang melumpuhkan sistem politik rejim itu sejak berbulan-bulan lalu. – BERNAMA

(Visited 106 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button