Nasional

Nenek 75 tahun empat cucu aktif sertai larian

Di sebalik kira-kira 1,000 peserta larian Water Fun Run 2020 anjuran MK Land Holdings di Bukit Merah Laketown Resort di Bagan Serai, Perak, satu sosok tubuh kecil kelihatan berlari-lari anak menuju ke garisan penamat.

Siapa sangka sosok tersebut, Azizah Hanim Mohd. Nasaruddin, merupakan seorang wanita warga emas yang mencecah usia 75 tahun pada tahun ini.

Ketika didekati wartawan selepas acara tersebut tamat, ibu kepada tiga anak yang mempunyai empat cucu ini begitu bersemangat bercerita mengenai minatnya terhadap sukan larian ini sejak dari kecil lagi.

“Mak cik memang dah minat lama dengan aktiviti larian ini namun tidak berkesempatan untuk menyertainya.

“Bagaimanapun sejak 2018, mak cik mula menyertai acara larian yang diadakan di Kuala Lumpur dan sejak itu mak cik bersama anak akan bersama-sama mendaftarkan diri mengikuti aktiviti ini,” katanya.

Tambah Azizah Hanim, setiap bulan ada sahaja acara larian yang akan disertainya dan kini dia berjaya melengkapkan larian ke-18 dengan jarak antara lima hingga 10 kilometer.

Ditanya mengenai petua kekal cergas, anak jati Bagan Serai itu memberitahu dia tidak mengamalkan apa-apa diet namun sering makan nasi dengan ulam raja.

“Di rumah mak cik ada sayur ulam raja. Jadi, mak cik akan makannya bersama nasi setiap hari.

“Alhamdulillah, mak cik sekarang tiada apa-apa sakit dan sihat,” ucapnya.

Wanita yang masih menjalankan perniagaan termasuk menjual nasi lemak, laksa dan mi rebus di kedainya Mi Rebus Wak Alang di Jalan Selama di sini setiap hari.

Katanya lagi, dia akan berehat seketika menyertai acara larian kerana ingin melaksanakan ibadah umrah pada bulan Mac hadapan dan meneruskan kembali aktiviti sihat itu pada bulan April.

Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli melepaskan 1,000 peserta yang turut dihadiri isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Dr. Nomee Ashikin Mohamed Radzi dan Pengerusi Eksekutif MK Land Holdings, Felina Mustapha Kamal. – Perak Gazette

(Visited 333 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button