Nasional

Negeri Sembilan beralih ke Fasa 3, Melaka masuk Fasa 2

Negeri Sembilan akan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara dan Melaka beralih ke Fasa 2 bermula pada 4 September ini.

Perkara tersebut diputuskan dalam Sidang Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 har ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan Sidang Khas berkenaan yang selama ini dianggotai oleh pihak kerajaan akan dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik.

Jawatankuasa Khas tersebut akan melibatkan wakil daripada parti pembangkang.

Tambahnya, pendekatan berkenaan merupakan salah satu usaha kolektif untuk melibatkan semua pemegang taruh bagi memastikan pemulihan negara berjalan seperti yang telah dirancang, seiring dengan semangat Keluarga Malaysia.

“Alhamdulillah, hari ini buat pertama kalinya selepas beberapa bulan, kadar purata kebolehjangkitan (R-naught) seluruh negara berada di bawah 1.0.

“Dan saya yakin kita berada di landasan yang tepat ke arah pemulihan negara,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan.

Berdasarkan unjuran data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), purata kadar vaksinasi di setiap negeri dijangka mencapai 80 peratus bagi populasi dewasa menjelang penghujung September 2021.

Ismail Sabri percaya kadar vaksinasi 100 peratus akan dicapai akhir Oktober ini dan sekali gus memberi  perlindungan kepada Keluarga Malaysia.

“Rakyat dan seluruh Keluarga Malaysia juga perlu bersedia untuk hidup bersama COVID-19 sebagai endemik selepas Oktober apabila suntikan vaksin dijangka selesai sepenuhnya.

“Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta untuk membentangkan strategi baharu pandemik dan endemik yang bersesuaian selain daripada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semata-mata,” katanya.

Ismail Sabri turut menyambut baik saranan mengenai usaha untuk melakukan perubahan kepada tingkah laku seperti yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia semalam.

Tambah beliau, Keluarga Malaysia perlu sedar, akhirnya semua ahli masyarakat terpaksa hidup bersama COVID-19 seperti yang berlaku di seluruh dunia.-SM

(Visited 283 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button