Ekonomi

Negeri Pahang Berpotensi Terima Lapan Juta Pelancong Tahun Ini!

KUANTAN: Tourism Pahang menganggarkan kira-kira lapan juta pelancong memilih negeri itu sebagai destinasi pelancongan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata walaupun masih ada beberapa lokasi pelancongan ditutup kesan daripada penularan wabak COVID-19 dan banjir yang melanda bulan lalu, sektor pelancongan itu akan kembali pulih dalam masa terdekat.

“Berdasarkan statistik 2020, tujuh juta pelancong datang ke Pahang ketika pandemik COVID-19 mula menular di negara ini. Bagaimanapun, tahun lalu kira-kira satu juta pelancong berkunjung ke Pahang kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang panjang dan darurat kesihatan yang menyebabkan industri pelancongan tutup.

“Tahun ini kita harap kerajaan Persekutuan benar-benar mengawal keadaan untuk memastikan pandemik COVID-19 dikawal sebaik mungkin kerana bukan sahaja industri pelancongan malah industri lain turut menerima kesannya,” katanya pada sidang media selepas majlis Pelancaran This is Pahang 2022 – Unlimited di sini, malam tadi.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pada majlis itu juga turut diadakan Majlis Anugerah Pelancongan dan Kebudayaan Pahang yang diberi kepada penggiat pelancongan, pihak berkuasa tempatan (PBT), pemandu pelancong dan pengusaha restoran.

Mengulas pelancaran tema ‘This is Pahang 2022 – Unlimited’, Mohd Sharkar berkata, `unlimited’ atau tiada had itu membawa maksud bahawa Pahang bertuah mempunyai kepelbagaian produk dari tanah tinggi ke hutan belantara, pantai dan pulau yang memukau selain warganya yang sentiasa mesra dan ramah.

Katanya, kerajaan negeri mengharapkan industri pelancongan yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19 kembali pulih.

“Pada masa sama, pematuhan daripada segi prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi semua pihak,” katanya.

(Visited 145 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button