Nasional

Paras empangan Bukit Merah kritikal akibat kemarau

EMPANGAN Bukit Merah kini berada pada paras kritikal tahap tiga namun masih mampu menyalurkan air untuk kegunaan pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria menasihatkan penduduk dan pengguna agar tidak panik berikutan empangan ini masih mampu menyalurkan air untuk kegunaan domestik dan pertanian.

“Bacaan air di empangan Kolam Bukit Merah pada hari ini berada dalam kondisi kritikal tahap tiga dengan bacaan 6.55 meter dan masih mampu menyalurkan untuk kegunaan domestik dan pertanian.

“Sekiranya paras bacaan air menyusut sehingga 6.1 meter maka pelepasan air untuk pengairan sawah padi terpaksa dihentikan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Razman berkata, pihaknya mengadakan mesyuarat dengan agensi dan jabatan berkenaan bagi melakukan pembenihan awan sekiranya masih tiada hujan sehingga 10 Februari ini.

“Justeru saya menasihatkan agar penduduk tidak panik berikutan empangan ini masih lagi mampu menyalurkan air untuk kegunaan domestik.

“Walau bagaimanapun, saya menasihatkan penduduk agar menjimatkan penggunaan air selain membuat penyimpanan bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Sementara itu, penduduk Bagan Serai, Kamal Abas, 48, berkata, dia bimbang sekiranya paras air empangan terus menyusut.

Menurutnya, selain digunakan untuk pengairan sawah padi, air empangan ini juga digunakan sebagai kegunaan domestik harian penduduk di daerah Bagan Serai.

“Berdasarkan maklumat semasa air di empangan kini berada dalam paras kritikal berikutan musim kemarau dan ketiadaan hujan di kawasan ini.

“Selain memberi kesan kepada musim penanaman padi yang akan bermula 15 Feb ini, penduduk khususnya di daerah Kerian turut bimbang bekalan air untuk kegunaan domestik atau harian terpaksa dicatu atau dihentikan,” katanya. – SM

 

(Visited 353 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button