Ekonomi

Negara akan kerugian besar jika DNB dimansuhkan – Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat negara akan kerugian besar jika Digital Nasional Berhad (DNB) dibatalkan termasuk kehilangan keyakinan pelabur akibat perubahan dasar mendadak.

Bekas Perdana Menteri yang terlibat langsung dalam merancang pembangunan kemudahan 5G negara berkata, inisiatif berkenaan bagi memastikan penyediaan kemudahan itu dilaksana segera dengan kos yang lebih jimat.

“Ia akan juga menyebabkan kehilangan penjanaan ekonomi berjumlah RM122 bilion menjelang tahun 2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KENYATAAN MEDIA

YB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN MANTAN PERDANA MENTERI

Baru-baru ini, terdapat beberapa perkara yang telah menarik perhatian umum mengenai pelaksanaan rangkaian 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB), terutamanya kaedah yang akan diadaptasi oleh mereka, iaitu model Rangkaian Borong Tunggal, atau Single Wholesale Network (SWN).
Sebagai mantan Perdana Menteri, saya telah terlibat dengan pelbagai perbincangan, termasuklah sesi libat urus dalam menjayakan usaha ini. Saya telah dimaklumkan bahawa cadangan yang dikemukakan dalam Laporan Pasukan Petugas 5G Kebangsaan dan Laporan Akhir Peruntukan Jalur Spektrum untuk Perkhidmatan Jalur Lebar Mudah Alih oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak berjaya dilaksanakan kerana perbezaan kepentingan di kalangan syarikat telekomunikasi. Ini telah menyebabkan usaha untuk berkongsi rangkaian, menjimatkan kos dan melancarkan 5G tidak berlaku seperti yang diharapkan.
Susulan itu, perbincangan bersama pakar industri telah diadakan untuk mencadangkan pembentukan sebuah syarikat tujuan khas, atau Special Purpose Vehicle (SPV), yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan untuk melaksanakan rangkaian borong tunggal 5G ke seluruh negara. Kapasiti 5G dan akses secara borong (wholesale) akan disediakan kepada syarikat telekomunikasi sedia ada melalui SPV ini.
Pulangan kepada SPV pula adalah berdasarkan kepada model pendapatan yang berpatutan bagi memastikan caj perkhidmatan 5G kepada pengguna adalah rendah. Pada 3 Februari 2021, Majlis Jemaah Menteri telahpun mengambil maklum mengenai perkara tersebut.
Selanjutnya, pada 19 Februari 2021, semasa Majlis Pelancaran MyDigital dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia, Kerajaan telah mengumumkan perkara ini serta bahawa teknologi 5G akan mula dinikmati oleh rakyat secara berperingkat bermula hujung 2021.

Saya ingin menekankan sekali lagi bahawa model pelaksanaan tersebut adalah amat penting untuk memastikan keterangkuman dan penyediaan perkhidmatan 5G yang mampu dinikmati oleh setiap golongan rakyat pada masa hadapan.
Antara sebab-sebab yang ingin saya tekankan termasuklah:
a. DNB tertakluk kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak SKMM bagi memastikan rangkaian 5G dapat dibangunkan dengan cepat pada kos yang lebih rendah, akses kepada kapasiti dan rangkaian diberikan kepada semua syarikat telekomunikasi secara terbuka dan adil, dan isu persaingan dan harga borong perkhidmatan yang disediakan oleh DNB dapat dikawal.
b. DNB telah melaksanakan tender melalui Request for Proposal (RFP) bagi Rangkaian Akses Radio (RAN) 5G pada 7 April 2021 dan selesai pada 1 Julai 2021. Penilaian tender yang dijalankan meliputi aspek teknikal, komersial dan sosio ekonomi. Berdasarkan penilaian tersebut, Ericsson (Malaysia) Sdn Bhd (Ericsson) telah dilantik sebagai penyedia perkakasan rangkaian (Network Equipment Provider atau NEP). Proses tender ini juga dijalankan setelah mengadakan perundingan dengan pihak syarikat telekomunikasi termasuk dalam aspek mereka bentuk rangkaian.
c. Kospelaksanaanrangkaian5GakandibiayaisepenuhnyaolehDNB melalui hasil jualan yang dijana di samping gabungan pembiayaan tertunda serta pembiayaan perdagangan dan modal kerja.
d. Kepentingan kontraktor Bumiputera akan diutamakan di dalam projek 5G melalui DNB. Ini adalah kerana salah satu syarat projek 5G ialah keperluan untuk memanfaatkan lebih 60% kontraktor Bumiputera dan kontraktor dari Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Saya juga ingin menekankan bahawa sekiranya pihak Kerajaan memutuskan untuk menukar model tersebut di saat ini, beberapa implikasi akan mengakibatkan risiko reputasi terhadap Kerajaan, termasuklah:
a. Kehilangan keyakinan pelabur akibat perubahan pendirian Kerajaan;
b. Implikasi serius dari aspek kewangan dan perundangan ke atas negara dan DNB sekiranya sebarang pelanggaran atau penamatan kontrak disebabkan oleh penukaran model;

c. Kehilangan penjanaan ekonomi berjumlah RM122 bilion menjelang tahun 2030 seperti yang dilaporkan oleh kajian yang dijalankan oleh Ernst & Young Sdn Bhd (EY);
d. Kehilangan kos peluang, atau opportunity cost pihak industri dalam memperolehi keuntungan memandangkan rangkaian 5G akan mengguna pakai infrastruktur sedia ada untuk meningkatkan kecekapan; dan
e. Kehilangan sokongan bagi sehingga 15 ribu pekerjaan berkaitan pembangunan rangkaian 5G, serta gangguan terhadap penciptaan 148 ribu pekerjaan di dalam ekonomi secara keseluruhannya, yang sepatutnya mendorong peralihan ekonomi kepada pekerja berkemahiran tinggi
Kesimpulannya, model SWN yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan mempunyai kelebihan untuk melaksanakan rangkaian 5G dengan pantas, pada kos paling rendah dan kualiti yang lebih baik. Model SWN yang dikawal selia oleh SKMM akan menyediakan akses yang adil dan sama rata kepada semua syarikat telekomunikasi seterusnya menggalakkan persaingan yang berfokuskan perkhidmatan kepada pelanggan. Selain itu, SWN juga tidak akan terlibat di dalam pasaran runcit berdasarkan model perniagaan syarikat dan juga syarat lesen oleh SKMM.
Pada masa yang sama, saya menyambut baik keputusan Telekom Malaysia Berhad yang telah menandatangani perjanjian percubaan bersama DNB. Ini akan melihat pelanggan mereka menerima perkhidmatan rangkaian 5G dalam masa terdekat. Ini jelas membuktikan bahawa model yang diadaptasi oleh DNB serta pengurusan mereka berjaya untuk menyampaikan perkhidmatan 5G berdasarkan garis masa yang ditetapkan.
Saya berharap Kerajaan akan mempertimbangkan perkara-perkara ini dalam menentukan model pelaksanaan yang paling sesuai untuk seluruh rakyat. Ini termasuk aspek keterangkuman dan kemampuan rakyat untuk menikmati perkhidmatan 5G pada kos yang rendah.
Selain itu, saya juga ingin mengingatkan bahawa model yang berteraskan bekalan ini juga penting bagi memastikan perkhidmatan 5G dapat dinikmati oleh penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar. Hakikatnya, buat masa ini, perkhidmatan 4G tidak dinikmati oleh kebanyakan penduduk luar bandar, dan kes Adik Veveonah Mosibin pada Jun 2020 adalah contoh yang dekat di hati kita. Ini adalah kerana kawasan-kawasan tersebut tidak menguntungkan bagi syarikat-syarikat telekomunikasi.

Malah, Kerajaan terpaksa menyediakan perbelanjaan tambahan berjumlah RM28 bilion daripada wang awam dan swasta di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk menghubungkan perkhidmatan ke kawasan-kawasan luar bandar, di mana syarikat telekomunikasi yang lazimnya dipacu keuntungan komersial, gagal menyediakan liputan.
Syarikat telekomunikasi telah mengambil masa tujuh tahun untuk mencapai liputan 4G di kawasan berpenduduk sebanyak 82.2%, manakala sebaliknya DNB menyasar melancarkan 5G kepada lebih 80% liputan kawasan berpenduduk menjelang 2024.
Akhir kata, model SWN yang digunapakai DNB berserta manfaat-manfaat yang yang lain jelas menguntungkan semua pihak. Yang lebih utama, model ini akan memastikan keterangkuman liputan rangkaian 5G serta harga yang murah bagi perkhidmatan tersebut untuk seluruh rakyat, tidak kira individu atau perniagaan.
Saya harap perkara ini tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak atas kepentingan sempit masing-masing.
TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN Mantan Perdana Menteri
11 Disember 2021

(Visited 675 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button