NegeriTravel

Swasta diminta tampil bangunkan hotel, homestay di Perlis – Pemangku Raja

SEKTOR swasta diminta supaya tampil ke Perlis membangunkan hotel-hotel baharu atau ‘homestays’ bagi menampung permintaan terutama di musim cuti, titah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Titah Baginda, inilah masanya para pemain industri pelancongan mengambil peluang ini sekaligus membantu memperkasakan lagi sektor pelancongan di Perlis.

 

Baginda juga berharap agar lokasi-lokasi pelancongan baharu yang telah dipersembahmaklumkan sebelum ini yang telah dirancang untuk dibangunkan oleh pihak swasta terus menunjukkan kemajuan dan dapat beroperasi dalam masa terdekat.

“Contohnya, Pavillion Padang Besar, Pembangunan Motel, Pusat Makanan Laut dan Rekreasi di pesisir Pantai Bukit Batu Putih, Kompleks Kemudahan Pelancongan Kuala Perlis, Projek Perlis Base Camp Gua Kelam dan sebagainya,” titah Baginda.

Titah Baginda lagi, jika benar-benar berjaya direalisasikan seperti yang dihasratkan sesungguhnya diharap ia akan mampu menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat melancarkan Promosi Masakan Perlis di D’Hatyai Café & Restaurant, Sriphunadnai 1, Hat Yai , Songkhla, Thailand.

Keberangkatan tiba Baginda bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh pemilik restoran berkenaan, Samueli Doloh.

Hadir sama Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Muhammad Ridzuan Abu Yazid.

Sebelum ini Tuanku Syed Faizuddin Putra juga pernah melancarkan inisiatif yang sama bagi mempromosikan nama Perlis melalui makanan di beberapa buah restoran lain di dalam wilayah Songkhla seperti Sami Kitchen, Restoran Halal Kai Tod Decha, Khlong Hae Buffet Seafood dan Restoran Hamid.

Pada kali ini masakan Kurma Daging Perlis sekali lagi diperkenalkan sebagai juadah utama dalam program kolaborasi antara restoran berkenaan dengan Restoran Shamiza Mohd Noor dari KM3, Jalan Guar Nangka, Perlis dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis. – SM

(Visited 223 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button