Ekonomi

NCER tarik pelaburan RM2.5b, cipta 2,000 peluang kerja melalui NAEZ

MENYEDARI keperluan yang semakin meningkat bagi memodenkan dan menambah nilai kepada agromakanan Malaysia serta mengurangkan kebergantungan kepada makanan import, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor  Utara (NCIA) mewujudkan Zon Ekonomi AgriBio NCER AgriBio (NAEZ).

NAEZ diunjurkan akan dapat menarik pelaburan melebih RM2.5 bilion dan mencipta lebih 2,000 peluang pekerjaan.

Projek merupakan respons NCIA terhadap Dasar Agromakanan Negara (NAP) yang bertujuan untuk memacu kecekapan industri agromakanan terutamanya daripada segi memacu produktiviti serta daya saing di seluruh rantaian nilai industri. Inisiatif ‘game-changer’ ini dilaksanakan dengan pendekatan yang holistik menggabungkan rantaian nilai hujung ke hujung bersepadu, disokong oleh pelbagai kemudahan dan penyediaan seperti teknologi, penyelidikan dan pembangunan serta komersial (R&D&C), modal insan dan
pembiayaan.

“NAEZ akan memainkan peranan penting berikutan kedudukan strategik Perlis yang berhampiran sempadan Thailand dan berpotensi menarik pelabur untuk mewujudkan pemangkin utama pertumbuhan ekonomi bagi membangunkan teknologi tinggi dalam sektor agromakanan.

“Perdagangan rentas sempadan dan kerjasama ini akan menyediakan negara untuk beralih daripada negara yang bergantung kepada import kepada pengeksport bersih untuk bekalan makanan,” kata Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) kedua negeri bagi tahun 2022.

Mengulas kenyataan Menteri Besar Perlis, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata, “Bersama dengan Kerajaan Negeri Perlis, NCIA akan menyediakan kepakaran dan pengetahuan yang diperlukan untuk membangunkan NAEZ sebagai hab serantau untuk pertanian moden yang dapat menghasilkan lebih banyak hasil di masa hadapan.

Ketika dunia bergelut dengan ketidaktentuan akibat krisis makanan, ini juga merupakan satu peluang untuk mengubah industri pertanian Malaysia dengan menghubungkan petani dan pekebun kecil dengan industri pertanian yang lebih besar bagi meningkatkan hasil dan akses pasaran negara. NCIA akan membantu dalam hal ini.”

Pelabur utama NAEZ, FGV Holdings Berhad (FGV) telah mengumumkan komitmennya untuk mewujudkan hab penanaman jagung berskala besar di Lembah Agro Chuping (CAV), Perlis.

Penanaman jagung secara besar-besaran ini dijangka dapat mengurangkan pergantungan hasil jagung import yang menjadi faktor ketidaktentuan harga bekalan ayam disebabkan oleh krisis yang berterusan antara Rusia dan Ukraine.

FGV juga telah memulakan penanaman nanas MD2 dan pisang Cavendish di CAV.

Selain menawarkan peluang pekerjaan dalam syarikat, FGV turut menyediakan peluang untuk penduduk di Perlis menjadi petani kontrak di atas tanah milik FGV di NAEZ.

Sebuah kolaborasi antara pelabur tempatan dan antarabangsa akan menjadikan NAEZ sebagai salah satu hab tenusu bersepadu yang terkemuka di rantau ini.

Kerjasama ini akan menyaksikan NAEZ menjadi hab tenusu yang lengkap dan bersepadu di rantau ini supaya mengurangkan pergantungan Malaysia terhadap produk susu import melalui penglibatan perniagaan tempatan yang penyediaan infrastruktur sokongan.

Dalam usaha untuk menggiatkan semula industri perladangan dengan penglibatan petani muda, NCIA telah melantik sebuah syarikat tempatan di Perlis, FigDirect Sdn Bhd (FigDirect) untuk menubuhkan Perlis Superfruits Valley di Chuping. Projek ini telah menghasilkan lebih daripada 20 produk hiliran komersial seperti potongan yogurt kering beku, jus tin, teh daun tin, kopi tin, minyak tin, minuman botani buah tin dan lemon.

FigDirect telah memilih calon Peladang Kontrak dari kalangan penduduk tempatan yang layak dan melatih mereka di ladang nukleus untuk tempoh enam bulan.

Selepas tamat latihan, peladang kontrak kemudian diberikan memperuntukkan tanah untuk memulakan aktiviti pertanian mereka.

Peladang Kontrak Kumpulan Pertama telah memulakan aktiviti penanaman pokok Tin / Fig di dalam Greenhouse pada April 2022.

FigDirect juga akan membantu mereka menjual hasil melalui pelbagai saluran pemasaran syarikat. Peladang Kontrak Kumpulan Pertama dijangka akan mula menuai menjelang Suku Ketiga tahun ini.

Dalam memastikan Perlis kekal teguh di landasan pemulihan dan pertumbuhan sosioekonomi, Mohamad Haris berkata NCIA akan terus melaksanakan program modal insan yang inklusif, holistik, dan berteraskan rakyat untuk meningkatkan pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat.

Program-program ini sejajar dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) untuk mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang, membasmi dan mencegah kemiskinan pada masa hadapan, memastikan kemampanan pendapatan dan menggalakkan sektor perniagaan melibatkan belia, wanita, penganggur, terutamanya mereka daripada kumpulan sasaran B40, miskin dan miskin tegar dalam usaha kolektif bagi memulihkan pembangunan sosioekonomi negara demi kelestarian jangka panjang dan kemakmuran rakyat.

Sejajar dengan matlamat Pelan Pembangunan Strategik (SDP) NCER 2021-2025 untuk menangani pembangunan yang tidak seimbang dan merapatkan jurang bandar-luar bandar di daerah kurang membangun, NCIA melaksanakan Program Modal Insan secara holistik dan bersepadu berdasarkan profil setiap daerah.

Sejak 2019, program ini telah memanfaatkan 11,672 orang di Perlis. Program-program ini membantu kumpulan rentan dengan menangani kos sara hidup, penyediaan latihan dan kemahiran semula dengan kit permulaan perniagaan dan pengetahuan e-dagang untuk mengatasi trend penurunan pendapatan yang disebabkan
oleh pandemik COVID-19.

Lebih daripada 27% peserta daripada empowerNCER-Skills & Entrepreneurship di Perlis telah melepasi paras kemiskinan, dengan 8% melangkaui kumpulan pendapatan M40 & T20. Ini bagi memastikan kemampanan dan pertumbuhan lebih daripada 100 perusahaan mikro dan PKS di Perlis seiring dengan usaha berterusan untuk merealisasikan aspirasi negara dalam merapatkan jurang perbezaan. – SM

(Visited 201 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button