Nasional

National Press Club gerak dana Tabung Kebajikan Wartawan

Wartawan bebas, berusia dan petugas media organisasi kecil layak dibantu

GOLONGAN media terutama wartawan adalah sasaran ‘terbaik’ dan menjadi pilihan sebagai kambing hitam mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan apa jua keadaan.

Ini termasuk laporan yang dikeluarkan oleh organisasi-organisasi media yang tidak memihak kepada si polan yang semestinya mahukan pihak media berpihak kepadanya.

Namun begitu, tidak siapa yang pernah bertanya, apakah yang diperlukan oleh wakil-wakil media massa samada wartawan atau pun jurugambar dalam waktu-waktu yang sukar seperti sekarang.

Ini kerana, walaupun kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang harus dipatuhi oleh semua rakyat Malaysia, wartawan dan jurugambar ataupun jurukamera yang bertugas, tetap perlu turun ke lapangan untuk membuat liputan.

Adakalanya, hati terasa sedih kerana golongan media dipandang enteng, kadangkala, tidak dihargai. Bukan itu sahaja, kalangan media juga memerlukan bantuan tetapi disebabkan memikirkan rakyat adalah keutamaan, maka kepentingan golongan media jatuh sebagai nombor dua.

Hari ini, dalam usaha membantu golongan media memerangi COVID-19, National Press Club Malaysia (NPC) membuat inisiatif kutipan dana menerusi Tabung Kebajikan Wartawan.

Memetik laporan BERNAMA, Presiden NPC, Datuk Ahirudin Attan berkata, dana yang diperoleh akan digunakan untuk pelbagai aktiviti.

Antaranya, kata Ahirudin, memberikan penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman kepada petugas media di lapangan selain daripada membeli barangan keperluan kepada ahli kelab yang berusia.

“Kami melihat kepada pendekatan tiga serampang dengan menyasarkan petugas media, wartawan bebas dan kakitangan am media serta warga emas yang pernah berkhidmat dalam industry ini,” ujarnya.

Ahirudin yang mengendalikan laman web berita The Mole menambah, terdapat wartawan, jurugambar dan jurukamera yang kehabisan penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Perintah itu yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac, dilanjutkan hingga 14 April ini.

“NPC menghargai sumbangan dan pengorbanan para wartawan kerana mereka juga petugas barisan hadapan semasa PKP.

“Mereka layak menerima semua bantuan kerana mereka juga bertugas menyampaikan laporan yang benar dan dipercayai kepada rakyat Malaysia mengenai krisis yang kita hadapi sekarang,” katanya.

Ahirudin berkata, beberapa petugas media juga daripada organisasi lebih kecil yang mempunyai keperluan terhad.

“Terdapat juga beberapa petugas yang berusia memerlukan barang keperluan dan wartawan bebas yang kehilangan pendapatan. Kami berharap inisiatif ini akan membantu rakan media kita,” katanya.

Bermula pada tahun 2006, Tabung Kebajikan Wartawan NPC bertujuan membantu wartawan dan ahli keluarga mereka di saat memerlukan.

Ada beberapa individu yang telah memberikan sumbangan.

Mereka yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya kepada The National Press Club Malaysia (1992), AmBank Islamic (nombor akaun: 023-202-200219-3).

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi pengurus kelab, Steven Foo di talian 019-245 8073. – SM

(Visited 128 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button