NasionalNegeri

Zon Maritim Kuala Perlis tahan nelayan tangkap siput retak seribu secara haram

Dua bot fiber ditahan

TAK pernah serik. Nelayan yang menangkap siput retak seribu secara haram mungkin beranggapan aktiviti ini selamat dijalankan apabila tidak nampak kelibat pihak berkuasa.

Sebenarnya, dengan adanya kesedaran dalam kalangan orang awam membuat aduan mengenai aktiviti haram ini kepada pihak berkuasa, membuatkan perbuatan ini dapat digagalkan.

SIPUT retak seribu yang dirampas bersama bot fiber di Perairan Kuala Perlis oleh pihak Zon Maritim Kuala Perlis, kelmarin. – GAMBAR IHSAN ZON MARITIM KUALA PERLIS

Sehubungan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis berjaya menahan dua bot fiber tanpa nombor pendaftaran di dua lokasi berbeza kerana disyaki menangkap siput retak seribu secara haram di sekitar perairan Kuala Perlis, petang kelmarin.

Komander Mohd Hashim Mat Zain berkata, sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan rutin Op Aman bergerak ke lokasi bagi melaksanakan pemeriksaan sebelum menahan bot terbabit.

“Kedua-dua tangkapan berkenaan dibuat pada kedudukan kira-kira 1.7 dan 2.6 batu nautika daripada barat daya muara Kuala Perlis membabitkan dua tekong dan tiga kru,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati kesemua bot nelayan tersebut berpangkalan di Kuala Perlis.

“Satu set sangkar besi berupa tangguk siput dan hasil laut jenis siput retak seribu seberat 55 kilogram dirampas ketika pemeriksaan dilakukan,” katanya.

Bot fiber kedua yang ditahan kerana disyaki menangkap siput retak seribu secara haram di Perairan Kuala Perlis, petang kelmarin. – GAMBAR IHSAN ZON MARITIM KUALA PERLIS

Mohd. Hashim berkata, anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk dua buah bot, enjin, sangkar besi dan siput retak seribu sekitar RM16,966.

Katanya lagi, kesemua yang ditahan adalah warga tempatan berusia 15 hingga 50 tahun.

Tambah beliau, bot serta hasil tangkapan siput dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati modus operandi penangkapan siput jenis retak seribu ini adalah menggunakan bot fiber dengan enjin sangkut bergalah (ekor biawak),” katanya.

Mohd Hashim berkata, suspek juga bertindak memotong tali sangkar siput serta membuangnya ke laut apabila dihampiri oleh pihak berkuasa untuk pemeriksaan.

Katanya, suspek berhadapan dengan pelbagai kesalahan antaranya di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (a) kerana mengendalikan bot tanpa lesen yang sah.

Selain itu katanya, suspek juga berhadapan dengan Seksyen 11 (3) (c) kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – SM

(Visited 637 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button