Nasional

Nanostix Seru Fokus Penguatkuasaan, Bukan Larangan Vape

MESKIPUN Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah diluluskan di peringkat Persekutuan untuk mengawal selia industri vape secara rasmi, beberapa kerajaan negeri kini mengambil pendekatan melarang sepenuhnya penjualan produk vape dan rokok elektronik di wilayah pentadbiran masing-masing.

Perkembangan ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan penggiat industri dan pengguna kerana dilihat bercanggah dengan pendirian Persekutuan yang menekankan kawal selia berbanding larangan mutlak. Situasi ini juga memberi gambaran seolah-olah tiada keselarasan antara dasar peringkat negeri dan dasar nasional.

Menurut Shahabudeen Jalil, Ketua Pegawai Eksekutif, Nanostix Innovations Sdn Bhd, salah satu pengeluar utama vape tempatan yang telah beroperasi sejak tahun 2018, melahirkan kebimbangan terhadap kesan jangka panjang tindakan sedemikian terhadap industri sah yang mematuhi undang-undang.

“Industri ini telah melalui pelbagai proses penyesuaian dan pematuhan, termasuk pendaftaran cukai eksais dan pematuhan piawaian keselamatan. Namun pengharaman sepenuhnya di peringkat negeri berpotensi menjejaskan ribuan pekerjaan serta peluang ekonomi yang telah diwujudkan,” menurut kenyataan syarikat itu.

Nanostix menegaskan bahawa tumpuan seharusnya diberikan kepada penguatkuasaan menyeluruh, khususnya terhadap penyalahgunaan produk vape oleh pihak tidak bertanggungjawab yang membawa masuk bahan larangan seperti ‘Vape Magic Mushroom’.

Syarikat itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap penjualan terbuka vape mengandungi bahan berbahaya di media sosial oleh individu atau entiti tidak berdaftar, yang dilihat lebih mendesak untuk ditangani berbanding menghapuskan industri sah.

“Tindakan menyekat pemain industri yang patuh hanya akan mengalihkan perhatian daripada kelemahan sebenar dalam sistem kawalan dan penguatkuasaan. Pasaran gelap pula akan terus berkembang tanpa pemantauan, sekali gus membahayakan pengguna,” tambahnya.

Bagi memastikan pendekatan yang lebih berkesan, Nanostix mencadangkan beberapa langkah strategik:

  1. Memperkasakan penguatkuasaan terhadap penyeludupan dan penjualan produk terlarang, termasuk kawalan lebih ketat di pintu masuk negara.

  2. Mengutamakan penggunaan bahan mentah tempatan dalam penghasilan cecair vape, bagi menjamin keselamatan dan kualiti.

  3. Mengadakan sesi libat urus industri secara berstruktur sebelum sebarang dasar baharu dilaksanakan.

  4. Meningkatkan pendidikan pengguna agar dapat membezakan antara produk sah yang berdaftar dan produk yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Nanostix juga menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan sekatan penuh terhadap import cecair vape dari luar negara sebagai langkah mengekang lambakan produk tidak berdaftar dan berisiko tinggi di pasaran.

“Dengan kawalan import yang lebih ketat, kerajaan bukan sahaja dapat melindungi pengguna, malah memberi ruang kepada pemain industri tempatan untuk berkembang secara sihat dan terkawal,” jelas syarikat itu lagi.

Mengakhiri kenyataan, Nanostix menegaskan bahawa sebarang tindakan dasar perlu berpaksikan kepada data dan keseimbangan – antara kawalan kesihatan awam dan kelangsungan ekonomi.

“Jangan kerana mahu menghalau nyamuk, kelambu dibakar. Fokuslah kepada isu sebenar iaitu penyalahgunaan dan penyeludupan, bukan menghukum industri sah,” tegas Nanostix.

Syarikat itu turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan semua pihak, termasuk kerajaan negeri, dalam mencari penyelesaian terbaik yang melindungi kesihatan rakyat tanpa mematikan industri tempatan yang mematuhi undang-undang.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button