Nasional

Orang Melayu cuma cuak dengan DAP sahaja Tun Mahathir!

KOMENTAR

YA, barangkali benar kata Tun Dr. Mahathir Mohamad yang terasa amat malu dengan orang Melayu yang percaya DAP akan menghancurkan mereka jika parti itu berada dalam kerajaan Malaysia.

Cuma Tun, sejarah lepas tidak menipu. Orang Melayu mungkin hanya cuak atau curiga sahaja dengan tindak tanduk DAP.

Tidak perlu pergi sejauh enam dekad lepas. Ambil kisah beberapa tahun lalu saja kerana suatu ketika DAP dalam sejarah moden ini boleh pula secara terbuka menentang usaha menambah baik un­dang-undang Islam.

Tambah memeritkan lagi apabila ada pemimpin Melayu dari PKR, Parti Amanah dan BERSATU ikut pula menyertai Penasihat DAP Lim Kit Siang menghalang pelaksanaan hukuman lebih berat di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, pindaan Rang Undang-Undang (RUU 355).

Ia sehingga disifatkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai melakukan kejahatan yang tidak boleh diizinkan oleh umat Islam.

“Maka, begitulah RUU 355 terus menghadapi gangguan syaitan besar dan kecil, sekurang-kurangnya mewas-waskan hati manusia,” kata Abdul Hadi menerusi tulisan di Facebook.

Yang menghairankan, RUU 355 ini tidak menjentik sedikit pun orang bukan Islam. Tujuannya murni untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

Kalau hendak dikatakan gelisah kerana takut RUU 355 ini tem­piasnya terkena kepada orang bukan Islam, boleh diterima juga alasannya. Padahal ini tidak sama sekali akan berlaku.

Ia hanya tertakluk kepada orang Islam sahaja. Ahli-ahli Parlimen DAP ini tidak akan masuk pun mahkamah syariah pun. Kenapa takut sangat?

Tapi menyedihkan, ada kalangan ketua pemimpin Mela­yu dalam Pakatan Harapan menikus tanpa memperjuangkan RUU 355.

Orang Melayu cukup cuak bila mana Dr. Mahathir ketika beliau berucap di Permatang Pauh pada 4 Mei 2013 menggelar Kit Siang sebagai ‘number one racist’.

“DAP adalah rasis dan parti cauvinis. Kit Siang adalah orang nombor satu paling rasis” kata Dr. Mahathir.

Orang Melayu tidak lupa itu. Kit Siang dan Dr. Mahathir – dua tokoh politik veteran yang digelar ‘pencatur politik Machiaveli’.

Dr. Mahathir maklum kekuatan politik pemimpin supremo DAP itu. Demikian jugalah Kit Siang turut mengenali kekuatan politik bekas Perdana Menteri dua kali itu – selama 22 tahun itu PM ke-4 dan setahun sembilan (PM ke-7).

Pakatan DAP-Mahathir dikatakan salah satu punca keretakan orang Melayu sehingga mendorong Tan Sri Muhyiddin Yassin Februari lepas berlaga dengan Dr Mahathir, lantas membentuk gabungan baharu Perikatan Nasional.

Kemunculan DAP sebagai kuasa politik terkuat dalam kalangan parti pembangkang pada PRU-12 dan PRU-13 dikatakan cerminan keupayaan parti itu dalam PRU 1969.

Sebagai kesinambungan perjuangan PAP (People Action Parti) yang kalah teruk dalam PRU 1964, DAP lebih lantang memperjuangkan isu-isu satu kaum.

Melalui organ DAP, The Rocket, Kit Siang mengecam sekeras-kerasnya MCA yang didakwanya mengikut telunjuk UMNO. Kit Siang juga menjadi penyambung lidah PAP apabila melaungkan dengan lantang konsep ‘Malaysian Malaysia’ – satu konsep mengamalkan politik sama rata tanpa mengira kaum dan agama.

Kritikan terhadap Perkara 152 (kedudukan bahasa Melayu) dan 153 berkaitan hak istimewa orang Melayu-Bumiputera dipelopori Setiausaha Agung PAP, mendiang Lee Kuan Yew ketika Singapura berada dalam Malaysia.

Kata seorang veteran politik kepada SUARA MERDEKA:

“Ka­lau DAP dikatakan akan memusnahkan hak Melayu, realitinya saya tak fikir DAP ada kekuatan seperti itu yang difikirkan banyak pihak.

“Saya tak fikir DAP kuat tapi kalau ditolong oleh orang Me­layu, berkemungkinan besar politik Melayu akan ke hilir, kekuatan bangsa kita akan lemah.

“Namun kalau setakat DAP berkokok, berkotak-katik, saya tak yakin (Melayu akan musnah).

“Cuma kalau Dr. Mahathir di pihak sana (Pakatan Harapan) bawa fikiran DAP, Melayu tidak akan ke mana…puncanya Melayu itu sendiri.”

Yang pasti, perjuangan Malaysian Ma­laysia atau dikenali Middle Malaysia, berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan mengenai Hak Keistimewaan Orang Melayu dalam Fasal 153.

Bahkan dalam Perlembagaan DAP cukup jelas mereka memperjuangkan penubuhan sebuah negara sekular. Ini juga bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai agama Persekutuan.

Ia tidak sesuai dengan jati diri nasional Malaysia yang majmuk

Tun Mahathir! sejarah tidak menipu. – SM

(Visited 525 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button