Rencana

Nama Ismail Sabri makin meniti dibibir rakyat

JIKA sebelum ini ramai yang kagum dengan pemimpin negara tetangga, Joko Widodo atau lebih dikenali Jokowi, sehingga berasakan Indonesia bertuah kerana dianugerahi pemimpin berkenaan.

Ini adalah kerana Jokowi yang merupakan asalnya gabenur Solo, dilihat sangat memahami denyut nadi rakyat negara republik itu yang bergelut dengan kehidupan harian.

Pada masa yang sama beliau juga dikatakan begitu tegas soal pembangunan infrastruktur dan ekonomi negaranya termasuklah pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan yang sebelum ini hanya cakap-cakap sahaja.

Jokowi hadir selepas kejatuhan pemerintahan oleh Suharto pada tahun 1998 akibat reformasi rakyat Indonesia yang mahukan sebuah kerajaan yang lebih demokratik.

Namun selepas itu pemimpin yang hadir seperti anak Sukarno iaitu Megawati, ulama Gus Dur, BJ Habibie dan Bambang Yudhuyono gagal mengangkat Indonesia ke tahap sewajarnya.

Di Malaysia perjalanan politik hampir sama cuma reformasi gagal meruntuhkan kerajaan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memerintah selama 22 tahun. Bahkan beliau kembali memerintah buat kali kedua selama 22 bulan selepas Barisan Nasional tumbang kepada Pakatan Harapan tumbang pada pilihan raya 2018.

Selepas tumbangnya Barisan Nasional menyaksikan ramai penganggur politik terdiri daripada ahli-ahli politik yang tewas pada pilihan raya tetapi menguasai parti terbesar Melayu iaitu UMNO yang menunggang isu-isu rakyat sehingga akhirnya Pakatan Harapan tumbang dan kerajaan Perikatan Nasional terbentuk dan mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Muhyiddin terpaksa berkongsi kuasa dengan UMNO dan Pas serta beberapa parti lain sering diganggu para penganggur politik ini. Akhirnya Muhyiddin terpaksa melepaskan jawatannya kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memastikan kerajaan yang ada terus berfungsi.

Ramai yang tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada Ismail Sabri kerana dilihat sebagai pemimpin bidan terjun sahaja dan terpaksa mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh para pemimpin yang sangat hebat.

Sebagai pemimpin yang naik hirarki parti dengan tertib, Ismail Sabri tidak pernah bersikap berkonfrantasi dengan sesiapa dan beliau berjaya menyatukan pembangkang dan kerajaan dalam menangani kemelut ekonomi serta pandemik.

Konsep Keluarga Malaysia yang dibawa beliau dalam pemerintahannya semakin diterima rakyat. Ketegasan Ismail Sabri ketara dalam menyelesaikan isu yang membabitkan kepentingan rakyat.

Daripada sekecil-kecil isu hinggalah kepada isu besar termasuk pengeluaran wang KWSP, penukaran Smarttag kepada RFID di lebuh raya dan terbaharu mengumumkan gaji minimum RM1,500 akan tetap dilaksanakan pada bulan hadapan walaupun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak terutama majikan.

Hadiah yang paling menggembirakan rakyat adalah mengumumkan tol percuma serta potongan harga hingga 50 peratus akan diberikan kepada pengguna lebuh raya utama negara bermula jam 12 tengah malam Sabtu ini hingga 11.59 malam Ahad ini.

Idea bijak ini bukan sahaja memberi rasa gembira di hati rakyat, bahkan akan menyelesaikan masalah kesesakan yang biasanya berpunca daripada pondok tol yang memperlahankan pergerakan kenderaan.

Almaklumlah selepas bertahun tidak dapat pulang berhari raya, ramai yang sangat teruja untuk pulang berhari raya kali ini. Ini dapat dilihat bagaimana pasar raya dan di mana jua menjual pakaian raya bersesak dengan orang ramai yang mahu kelihatan segak dan ceria di pagi hari raya.

Melihatkan sikap Ismail Sabri yang sangat memahami denyut nadi rakyat adalah rugi negara ini jika kehilangan pemimpin seperti beliau.

Berlatarbelakangkan keluarga miskin dari kampung yang hidup sebagai penoreh getah, beliau mudah menyelami kesusahan rakyat.

Simpati dan empati yang tinggi beliau menyebabkan rakyat sentiasa di hati beliau dan bukannya barang tebusan yang digula-gulakan dengan wang ringgit untuk sokongan politik semata-mata.

Beliau bukan memberi bantuan kerana mahu merasuah rakyat untuk sokongan, tetapi atas niat murni mahu menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin tertinggi yang sentiasa meletakkan rakyat sebagai keutamaan beliau.

Jadi tidak hairan dalam tempoh singkat nama Ismail Sabri semakin meniti dibibir rakyat dan negara ini bertuah kerana dianugerahkan pemimpin seperti beliau dan pastinya lebih banyak kebaikan akan dibawa kepada negara dan masyarakat apabila terus diberikan kepercayaan dan mandat untuk mentadbir negara ini pada masa hadapan.

 

 

(Visited 287 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button