Nasional

Gangguan seksual harus ditangani dan dihentikan menerusi program advokasi

KPWKM sebagai sebuah Kementerian yang bertanggungjawab terhadap kebajikan dan kesejahteraan masyarakat memandang serius isu gangguan seksual.

Justeru, Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840] telah digubal sebagai satu manifestasi penting Kerajaan bahawa kesalahan gangguan seksual merupakan satu pelanggaran kepada hak asasi manusia.

Garis Panduan Pelaksanaan Program Advokasi Antigangguan Seksual juga dibangunkan yang merangkumi dua pelan tindakan iaitu program advokasi bagi pencegahan gangguan seksual dan program advokasi bagi kesedaran gangguan seksual.

Pelbagai program advokasi antigangguan seksual dijalankan oleh KPWKM melalui Jabatan Pembangunan Wanita sepanjang tahun ini di seluruh negara untuk memberikan pendidikan, meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap gangguan seksual.

Semua pihak sama ada agensi kerajaan, pihak swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi-institusi pendidikan perlu memberikan kerjasama yang sepenuhnya dalam usaha untuk menangani dan menghentikan gangguan seksual.

Setiap individu berhak untuk berasa bebas daripada kebimbangan dan kerisauan. Oleh itu, gagasan Madani yang bersifat menyeluruh berteraskan tonggak Kesejahteraan perlu dihayati dengan sebaiknya demi mewujudkan persekitaran sosial yang selamat sekali gus membolehkan setiap manusia mencapai keharmonian dan kebahagiaan.

Majlis Pelancaran Jerayawara Program Advokasi Antigangguan Seksual telah berlangsung pada hari ini di Putrajaya bertujuan untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran masyarakat tentang perlakuan gangguan seksual dan kesan-kesannya terhadap mangsa.

Majlis tersebut dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia bersama YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dalam majlis itu juga, turut diadakan montaj Pelancaran Kempen Antigangguan Seksual dan penyampaian bahan kempen.

Turut sama hadir dalam majlis tersebut ialah YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM dan YBrs. Dr. Wan Nur Ibtisam binti Wan Ismail, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), KPWKM.

(Visited 194 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button