
“Nak Dapat Berkat, Tapi Rosakkan Akidah” – Ustaz Nabil Tegur Amalan Khurafat
PERBUATAN mencium al-Quran secara berlebihan dan mengambil tanah kubur atas kepercayaan tertentu disifatkan sebagai amalan khurafat yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Menurut penceramah bebas, Ustaz Nabil Ahmad, tindakan mencium al-Quran tidaklah ditegah dalam Islam selagi ia dilakukan dengan adab dan penuh hormat, serta tidak disertai unsur syirik. Namun, beliau menegaskan bahawa apabila perbuatan itu dilakukan secara melampau atau dijadikan ritual untuk mendapatkan “berkat”, ia boleh mengundang kerosakan akidah.

“Memang ada riwayat sahabat seperti Saidina Umar mencium mushaf, tetapi perlu difahami bahawa setiap perbuatan mesti mengikut panduan syarak dan tidak dijadikan ritual yang melangkaui batas agama,” katanya.
Ustaz Nabil turut mengingatkan bahawa ziarah kubur dalam Islam adalah bertujuan untuk menginsafi diri dan mengingati kematian, bukan untuk memohon hajat atau mencari perubatan dengan cara yang tidak bersandarkan dalil.
Beliau mengulas berhubung insiden tular melibatkan kematian pelajar UPSI, Allahyarham Nurly Shahirah Azman, apabila terdapat individu yang didakwa mengambil tanah kubur arwah dan menyapu ke wajah dengan tujuan tertentu.
“Tindakan itu jelas bertentangan dengan prinsip Islam. Ia adalah satu bentuk tahyul dan khurafat yang perlu dielakkan oleh umat Islam,” tegasnya.
Beliau menyeru agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan kepercayaan yang tidak berlandaskan al-Quran dan sunnah, terutama dalam urusan kematian yang seharusnya menjadi pengajaran dan ruang muhasabah, bukan medan mencipta kepercayaan yang salah.