Nasional

Kestabilan politik, dasar yang jelas penting untuk ekonomi berkembang – Anwar

KESTABILAN politik dan dasar yang jelas adalah penting bagi mana-mana ekonomi untuk berkembang maju, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di San Francisco.

Anwar berkata walaupun kejelasan dan konsistensi dalam dasar diperlukan, pelaksanaan dasar yang berkesan juga memainkan peranan penting dalam memikat pelabur.

“Kemudian, sudah tentu, pelaksanaan yang berkesan. Kita semua bercakap tentang kemudahan menjalankan perniagaan,” katanya pada sesi soal jawab pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-30 bertajuk “Ekonomi Global dan Keadaan Dunia” di sini pada Rabu .

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian ketika ditanya apakah alat terpenting yang boleh digunakan oleh pemimpin politik dari ekonomi sederhana untuk bekerjasama dengan komuniti perniagaan mereka, dan mengenai perkongsian ekonomi di kalangan rakan dan rakan kongsi mereka di rantau Asia Pasifik.

“Kita semua bercakap tentang agensi sehenti. Agensi sehenti itu tidak bermakna ia berhenti di situ sahaja. Ini bermakna anda perlu memudahkan dan mempercepatkan proses dengan prosedur dan dasar yang jelas,” tambahnya.

Menurut Anwar, Malaysia amat bertuah kerana mendapat pelaburan dari China, Amerika Syarikat (AS), Eropah, dan juga dari rantau ini yang melebihi jangkaan.

“Maksud saya, (pelaburan) yang saya maksudkan adalah besar, dan ini menandakan keyakinan sektor swasta dalam cara kita menetapkan dasar dan kita menjalankan perniagaan,” katanya sambil menambah bahawa tadbir urus yang baik di bawah pentadbirannya telah menarik aliran masuk daripada pelaburan.

Anwar mengulangi bahawa sesebuah negara mesti kekal tegas dalam melaksanakan dasar dan menangani rasuah, terutamanya terhadap cara menjalankan perniagaan yang membazirkan dana awam untuk memperkayakan mereka yang berkuasa.

Beliau menegaskan bahawa beliau telah menjelaskan pendiriannya dalam soal rasuah.

“Dan bahawa saya telah menyatakannya dengan sangat jelas. Saya fikir kita berada di landasan yang betul untuk memacu ekonomi negara kita dalam beberapa tahun akan datang. (Kami) sangat bercita-cita tinggi, dan saya rasa berdasarkan kenyataan itu, dalam tempoh enam, tujuh bulan akan datang, kita boleh mencapai itu (sasaran pertumbuhan ekonomi),” katanya.

Perdana Menteri turut mengambil peluang menarik pelabur untuk melabur di Malaysia dan ASEAN.
“Malaysia dan ASEAN adalah tempat yang paling stabil dan bertenaga untuk melabur, dan saya berharap dapat bertemu anda secara individu di Malaysia,” katanya.

Anwar tiba di San Francisco pada Isnin (13 Nov) untuk Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-30 dari 14 hingga 17 Nov, menandakan lawatan sulungnya untuk mesyuarat rasmi sebagai Perdana Menteri Malaysia. – SM

(Visited 43 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button