Politik

Najib tolong perbetulkan poster manifesto PH berkaitan hapuskan tol

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperbetulkan poster manifesto Pakatan Harapan berkaitan janji untuk menghapuskan tol apabila menang pilihan raya.

Pada poster berkenaan, Najib memangkah perkataan ‘hapuskan’ dan diganti dengan perkataan lanjutkan.

“Saya tolong perbetulkan manifesto PH. Kesan sebenar pengumuman PH hari ini, harga tol turun 18 peratus. Tempoh tol lanjut 20 tahun. Bermakna jumlah kutipan tol sepanjang tempoh naik 73 peratus.

“Kerajaan mengelak dari membayar apa-apa pampasan tahunan kerana ianya ditangggung oleh pencarum KWSP hari ini akibat pendapatan dari PLUS turun 18 peratus,  anak-anak dan cucu-cicit yang bayar tol pada tempoh 20 tahun yang ditampung itu,” kata Najib.

Menurut Najib, pemenang terbesar pemanjangan tempoh tersebut adalah pengguna kerap tol PLUS di pantai barat Malaysia.

“Kerajaan PH yang elak dari membayar pampasan tahunan. PH yang akan claim ini antara langkah untuk tunaikan janji manifesto mereka, walaupun janji ialah hapuskan – bukan beri diskaun 18 peratus,” kata Najib.

Menurut beliau, pihak yang rugi berikutan langkah kerajaan itu adalah pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Turut rugi adalah orang kampung, orang pantai timur dan orang Sabah dan Sarawak yang tidak mendapat manfaat dari penurunan harga 18 peratus tetapi dividen KWSP tahunan mereka terjejas.

“Anak-anak dan cucu cicit kita yang sepatutnya tidak perlu bayar tol selepas tahun 2038 dihadiahkan untuk membayar tol sebanyak 20 tahun lagi,” kata Najib.

Janji ke-6 dalam manifesto PH menyatakan gabungan itu akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

Halaman 29 manifesto PH menyatakan ia akan mengambil alih konsesi lebuh raya dengan memberi pampasan adil kepada syarikat konsesi.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, pengurangan sebanyak 18 peratus akan bermula pada 1 Februari ini sekaligus pengguna akan menikmati kadar tol yang lebih rendah.

Pengurangan itu merangkumi Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE) dan Lebuh Raya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (Elite).

Selain itu turut termasuk adalah Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (Linkedua), Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dan Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH).

Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP) turut terlibat dalam pelaksanaan pengurangan kadar tol.

“Kadar akan berkurang daripada 13.6 sen kepada 11.15 sen setiap kilometer. Ia adalah lebih rendah berbanding kadar tol pada 1999, 11.24 sen,” kata kenyataan tersebut.-SM

 

(Visited 759 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button