fbpx
Nasional

Najib tidak buat laporan polis berhubung dakwaan tandatangan dipalsukan

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau tidak membuat laporan polis berhubung apa yang didakwanya bahawa tandatangannya telah dipalsukan dalam minit mesyuarat pemegang saham SRC International Sdn Bhd.

Najib, 67, bagaimanapun, berkata beliau tidak membangkitkan perkara itu dengan peguam belanya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V. Sithambaram sama ada beliau membuat laporan polis berhubung dakwaan tandatangan beliau dalam minit itu telah dipalsukan.

Sithambaram: Adakah anda memaklumkan kepada peguam bela anda bahawa dokumen (yang Najib dakwa mengandungi tandatangannya yang dipalsukan) tidak sepatutnya wujud

Najib: Kami ada membincangkannya, ya.

Sithambaram: Oleh kerana dokumen itu tidak wujud, adakah anda buat laporan polis

Najib: Tidak, berikutan perbicaraan sedang dijalankan.

Terdahulu, Najib mendakwa dokumen itu mungkin telah dipalsukan kerana beliau tidak ditunjukkan sebarang minit mesyuarat SRC International untuk ditandatangani.

Ditanya sama ada beliau melantik mana-mana pakar untuk memeriksa ketulenan tandatangan yang didakwa miliknya pada dokumen itu, Najib berkata beliau tidak ingat waktunya yang tepat.

Pada peringkat itu, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mencelah dengan bertanya Najib soalan yang sama (berhubung pelantikan pakar): “Adakah ini semasa pendakwaan kes”

Najib menjawab: “Ya”.

Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International, membabitkan tiga pertuduhan jenayah pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berkaitan dana SRC. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button