Auto TravelBerita Auto

Audi lancar rangkaian model e-tron di Malaysia

Harga ditawarkan bermula dari RM383,990

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini secara rasmi melancarkan tujuh model elektrik sepenuhnya Audi e-tron ke pasaran Malaysia. Terdiri daripada model SUV, sportback dan coupé empat pintu, rangkaian e-tron dibina khas dengan reka bentuk dan prestasi terbaik. Ia nyata mengukuhkan identiti Audi sebagai perintis masa depan dan membuktikan kecanggihan teknologi Audi.

Q8 e-tron SUV menampilkan reka bentuk aerodinamik yang sangat efisien, rangkaian kuasa yang telah dioptimumkan dengan prestasi pengecasan lebih padu dan kapasiti bateri lebih tinggi, membolehkannya menawarkan jarak sehingga 582 km.

Ruang dalaman Q8 e-tron Advanced 50 Quattro dan Q8 e-tron S line 55 Quattro menawarkan pengalaman tempat duduk kelas pertama. Apabila kerusi penumpang belakang dilipat, ia mampu menawarkan ruang sehingga 1,725 liter.

Walaupun mempunyai ciri yang sama dengan model SUV, varian Q8 e-tron Sportback hadir dengan imej lebih sporty menerusi siluet yang elegan dan kemas untuk kecekapan aerodinamik terbaik.

Dengan reka bentuk emotif dan teknologi yang revolusionari, e-tron GT coupé yang memenangi anugerah telah mengintepretasikan semula idea klasik sebuah gran turismo. Varian e-tron GT terdiri daripada RS e-tron GT yang ikonik, e-tron GT quattro dengan Dynamic Package dan e-tron GT quattro. Jentera itu menjanjikan prestasi pemanduan dinamik, terima kasih kepada teknologi pacuan semua roda quattro elektrik yang revolusionari.

Harga jualan runcit yang dicadangkan untuk rangkaian model elektrik sepenuhnya Audi yang mewah adalah seperti berikut:

  • Q8 e-tron advanced 50 quattro – RM 383,990 ke RM 396,990
  • Q8 Sportback e-tron advanced 50 quattro – RM 389,990 ke RM 402,990
  • Q8 e-tron S line 55 quattro – RM 474,990 ke RM 487,990
  • Q8 Sportback e-tron S line 55 quattro – RM 484,990 ke RM 497,990
  • e-tron GT quattro – RM 587,990 ke RM 599,990
  • e-tron GT quattro dengan Dynamic Package – RM 666,990 ke RM 678,990
  • RS e-tron GT – RM 792,990 ke RM 807,990

Pengarah Urusan PHSAM, Erik Winter memberitahu maklum balas daripada pengedar dan pelanggan terhadap Audi e-tron adalah sangat menggalakkan. “Ini merupakan penawaran produk terbesar Audi di Malaysia dan kami sangat teruja untuk menjadi negara pertama di rantau ini melancarkan Q8 e-tron. Kenderaan mewah dan berprestasi tinggi ini sememangnya amat ditunggu-tunggu. Ia sudah bersedia untuk menawan hati serta imaginasi rakyat Malaysia yang mahukan pilihan mobiliti lebih mapan dan mesra alam.

“Bukan itu sahaja, saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa ini hanyalah satu permulaan. Ini kerana kami sudahpun berusaha untuk membawa masuk lebih banyak model e-tron ke sini termasuklah flagship SQ8 dan Q6 e-tron yang akan membuat debut global hujung tahun ini,” tambah Erik.

Momentum jualan EV di Malaysia dibantu oleh insentif kerajaan dan kerjasama industri untuk mencapai sasaran kerajaan mempunyai 1.5 juta EV di Malaysia menjelang tahun 2040. Audi percaya peralihan kepada kenderaan elektrik akan berterusan kerana mobiliti elektro semakin mendapat perhatian pada masa depan.

Percuma Pengecas Kompak e-tron dan Kredit JomCharge bernilai RM1,000 untuk para pemilik e-tron

Bagi meningkatkan lagi pengalaman pemilikan, semua model didatangkan dengan e-tron Charging System Compact mudah alih untuk memberi kemudahan mengecas di mana-mana sahaja.

Sistem itu terdiri daripada satu unit pengecas kompak pintar dan kabel – pasang sahaja pada kereta dan ke soket standard di rumah dengan output 1.8 kW hingga 2.3 kW atau menerusi bekalan kuasa tiga fasa yang mempunyai output 11 kW. Pengecasan boleh ditetapkan kepada 100 dan 50 peratus kuasa pada unit pengecasan bagi mengelakkan berlakunya masalah terlebih beban kepada sistem elektrikal rumah.

Sebagai manfaat tambahan, pemilik juga akan menerima kredit JomCharge berjumlah RM1,000 secara percuma dengan tempoh sah selama setahun.

Pengenalan MOON POWER di Malaysia

PHSAM telah bekerjasama dengan penyedia penyelesaian tenaga Eropah, MOON POWER untuk menyokong aspek pengecasan buat pemilik e-tron di negara ini. MOON POWER ialah sebuah anak syarikat Porsche Holdings Salzburg (PHS) dan menandakan kemasukan pertama jenama itu di pasaran luar Eropah.

Pelanggan akan diberi pilihan untuk membeli pengecas wallbox MOON POWER berkapasiti 11 kW dan 22 kW bermula September 2023. Setiap unit MOON POWER telah pun menjalani kawalan kualiti yang ketat demi memenuhi piawaian pengecasan dan keselamatan Audi.

Bagi persediaan pelancaran ini, kesemua tiga Audi Centre di Glenmarie, Setia Alam dan Juru telah dipasang dengan MOON POWER. Setiap Pusat ini menyediakan tiga unit pengecas AC 22 kW dan satu pengecas DC 180 kW. Kesemua Pusat berkenaan akan menawarkan pengecasan eksklusif untuk para pemilik Audi e-tron.

Semua model Audi e-tron hadir standard dengan jaminan tanpa had perbatuan selama dua tahun, jaminan bateri selama 8 tahun atau jarak sejauh 160,000km dan bantuan tepi jalan percuma selama 5 tahun. Pelanggan boleh mendapatkan Pakej Jaminan Audi (Audi Assurance Package, AAP) yang menawarkan jaminan tambahan dan penyelenggaraan selama 3 tahun dengan selang servis 15,000km.

Untuk maklumat lanjut mengenai rangkaian model e-tron, sila kunjungi Audi Centre terdekat atau layari laman web www.audi.com.my.SM 

Artikel berkaitan > Euromobil memperkenalkan Audi RS3 Sedan

(Visited 159 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button