fbpx
Nasional

Najib terkejut RM42 juta dalam akaun peribadi tetapi tidak pulangkan

WALAUPUN terkejut apabila menerima RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya pada September 2014 dan Februari 2015, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak memulangkan wang berkenaan.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau tidak memulangkan wang tersebut kerana mahu melihat hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa ketika itu.

Najib, 67, bagaimanapun, tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya ad hoc, Datuk V. Sithambaram bahawa beliau menganggap RM42 juta itu seolah-olah miliknya.

Semasa peringkat pendakwaan kes tersebut, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman, Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd, entiti yang dilantik untuk melaksanakan semua program tanggungjawab sosial korporat (CSR) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), memberi keterangan bahawa Najib “terkejut” apabila dimaklumkan RM42 juta telah dimasukkan ke dalam akaunnya.

Sithambaram: Kamu melahirkan rasa terkejut apabila mendapati wang itu ada dalam akaun kamu. Jika kamu tahu wang itu ada dalam akaun kamu, sepatutnya memulangkannya.


Najib: Ia sedang disiasat. Tertakluk kepada penyiasatan.

Sithambaram: Apabila mengetahui (tentang wang itu), tidakkah kamu sepatutnya memulangkannya Walaupun siasatan sedang dijalankan, kamu boleh mengembalikannya.

Najib: Saya mahu melihat hasil siasatan.

Sithambaram: Bukan soal siasatan tetapi mengenai jumlah wang yang masuk ke akaun kamu. Adakah kamu masih mahu menunggu hasilnya Okay ….

Terdahulu, Sithambaram membacakan afidavit Najib dalam saman sivilnya terhadap bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik yang mendakwa Ahli Parlimen Pekan itu telah menyalahgunakan wang.

Sithambaram juga membacakan afidavit Ling yang memetik afidavit bersumpah Najib yang membalas dakwaan bahawa beliau (Najib) telah mengaku menerima dana SRC International ke dalam akaunnya.

Najib, bagaimanapun, menegaskan bahawa beliau tidak tahu RM42 juta pada masa itu adalah wang SRC.

Sithambaram: Kamu tidak tahu yang wang ini masuk ke akaun kamu melalui dua perantara

Najib: Tidak, saya tidak tahu langsung ia wang SRC.

Najib juga tidak bersetuju dengan cadangan Sithambaram bahawa beliau bertanggungjawab terhadap hutang sebanyak RM9.3 bilion yang ditanggung kerajaan berikutan skandal 1MDB.

Najib kini membela diri terhadap tujuh tuduhan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International, yang terdiri daripada tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan salah guna kuasa.

Bekas perdana menteri itu memberitahu mahkamah bahawa beliau terperanjat apabila mengetahui keputusan SRC International untuk melabur berbilion ringgit di luar negara tetapi mengatakan bahawa beliau tidak bertanya lembaga pengarah mengenai perkara berkenaan.

Sithambaram: Apabila kamu diberitahu bahawa pelaburan besar telah dibuat di luar negara, adakah kamu menyatakan yang kamu terkejut Menteri Kewangan Diperbadankan, sebagai pemegang saham tunggal, tidak dimaklumkan tentang urus niaga ini yang melibatkan modal SRC

Najib: Sudah tentu, saya terkejut.

Sithambaram: Baiklah terkejut. Kalau terkejut, kamu akan menyoal lembaga pengarah bagaimana mereka boleh menghantar sejumlah besar (wang) ke luar negara. Adakah kamu bertanya

Najib: Tidak, saya tidak bertanya.

Najib turut tidak bersetuju dengan cadangan bahawa beliau tidak menyoalnya kerana semua minit mesyuarat pemegang saham dirujuk kepadanya, ditandatanganinya dan diserahkan kepada lembaga pengarah.

Sithambaram mencadangkan bahawa Najib tahu apa yang dilakukan SRC International tetapi bekas menteri kewangan itu tetap menegaskan bahawa beliau menyerahkan urusan kepada pengurusan syarikat.

Najib berkata beliau hanya tahu apa yang dikemukakan untuk perhatiannya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button