Nasional

Koronavirus: Lapan pelancong China di kuarantin di hotel JB

LAPAN warga China yang tiba bersama seorang mangsa positif wabak koronavirus di Singapura telah dikuarantinkan selama seminggu di sebuah hotel di Johor.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kesemua pelancong itu yang tiba di Johor semalam, telah dipantau lanjut oleh pasukan kesihatan.

“Mereka diasingkan di sebuah hotel di Johor Baharu dan sedang dipantau sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu.

“Mereka bukanlah pesakit tetapi kita perlu melihat sama ada berlakunya tanda-tanda simptom atau tidak kerana mereka ada kaitan dengan kes dari mangsa di Singapura itu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Boon Chye mengesahkan Malaysia masih lagi bebas daripada virus maut yang sehingga kini telah meragut 25 nyawa di China itu.

“Semalam dilaporkan empat kes disyaki virus itu dan kesemuanya telah diperiksa dan bebas daripada koronavirus setakat ini.

“Kita akan terus membuat saringan supaya tindakan awal dapat diambil sekiranya ada kes sedemikian melepasi sempadan.

“Kita akan pertingkatkan peralatan untuk saringan suhu badan di semua lapangan terbang dan pintu masuk negara,” katanya.

BACA ARTIKEL25 kematian akibat koronavirus di China,

Media Singapura sebelum ini melaporkan seorang warga China diuji positif sekali gus menjadi mangsa pertama wabak koronavirus di negara itu.

Lelaki berusia 66 tahun berasal dari Wuhan itu tiba di Singapura bersama sembilan rakan lain, pada Isnin dan menginap di Resort Shangril-La Rasa Sentosa.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China mengesahkan sebanyak 830 kes dijangkiti koronavirus baharu dicatatkan setakat semalam, dengan kematian akibat virus itu meningkat kepada 25 mangsa.

Virus itu muncul di bandar Wuhan di negeri Hubei pada penghujung tahun lepas dan sudah merebak ke bandar-bandar China lain termasuk Beijing dan Shanghai, serta Amerika Syarikat, Thailand, Korea Selatan, dan Jepun.

Koronavirus merupakan radang paru-paru yang seakan sama dengan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS). Gejala yang boleh dilihat apabila individu mengalami demam, batuk dan sukar bernafas. -SM

(Visited 151 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button