Mahkamah

Najib saman Tommy Thomas

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan saman terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas serta kerajaan Malaysia kerana menuduhnya di mahkamah dan menuntut ganti rugi hampir RM2 juta.

Utusan Online melaporkan, saman tersebut difailkan pada 22 Oktober lalu melalui firma guaman, Tetuan Raj, Ong & Yudestra di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

 

Menurut pernyataan tuntutan, Najib mendakwa Tommy telah melakukan misfeasans (gagal melaksanakan tugas dengan betul) dan penyalahgunaan proses dengan niat jahat (malicious process) dan cuai ketika menjadi Peguam Negara.

Tommy juga telah bersikap prejudis terhadapnya sebelum beliau didakwa di mahkamah. Selain itu Najib  mendakwa Tommy campur tangan dalam siasatan dan tidak mengkaji kesnya dengan objektif.

Najib juga mendakwa Tommy telah menyalahgunakan kuasa sebagai Peguam Negara bagi memenuhi rancangannya untuk memenjarakan beliau.

Najib turut mendakwa 35 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya; kecuali pertuduhan membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd., merupakan sesuatu yang telah lama dirancang oleh Tommy.

Akibatnya, Najib mendakwa beliau hilang reputasi sebagai ahli politik, hilang kebebasan semasa disiasat pihak berkuasa dan turut mengalami kesakitan, penderitaan serta trauma.

Ahli Parlimen Pekan itu menuntut ganti rugi sebanyak RM1,941,988 iaitu kos-kos yang terpaksa ditanggung akibat pendakwaan tersebut seperti bayaran rundingan pasukan audit untuk melakukan semakan dokumentasi dan kos yang terpaksa dibazirkan kerana tidak dapat ke luar negara akibat syarat jaminan yang dikenakan terhadapnya.

Menurut semakan mahkamah, kes saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar, Nurliana Ismail pada 19 November ini.

(Visited 147 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button