NasionalpilihanTravel

Malaysia terpilih duduki kerusi UNESCO IGC ICH sesi 2022-2026

MALAYSIA menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah melakar satu catatan sejarah yang amat membanggakan di peringkat antarabangsa apabila buat julung kalinya terpilih menduduki kerusi UNESCO Intergovernmental Committee for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage (IGC ICH) untuk sesi 2022-2026 sejak meratifikasi 2003 Convention for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage pada 23 Julai 2013.

Malaysia menang bertanding dalam kumpulan negara Asia Pasifik dengan meraih 110 undi daripada 132 undi keseluruhan atau 83 peratus. Ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan kerana kepakaran serta keupayaan Malaysia diiktiraf dan diyakini untuk turut sama menentukan hala tuju perlindungan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (WTK) melalui jawatankuasa tersebut.

Keputusan ini diumumkan secara rasmi oleh Mr. Ernesto Ottone R., UNESCO Assistant Director-General for Culture ketika The Ninth Session of the General Assembly of the States Parties to the Convention for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage pada 7 Julai 2022 di Ibu Pejabat UNESCO, Paris, Perancis. Sesi ini turut dihadiri oleh delegasi dari Malaysia yang diketuai oleh YBhg. Datuk Hajah Saraya Arbi, Ketua Setiausaha MOTAC.

Tanggungjawab selaku Negara Anggota IGC ICH menuntut komitmen yang tinggi. Antara tanggungjawab utama yang perlu dilaksanakan termasuk melaksanakan objektif konvensyen; menyediakan garis panduan amalan terbaik dan membuat rekomendasi perlindungan WTK; menilai pencalonan Negara Anggota bagi pengiktirafan di bawah senarai WTK; meluluskan program, aktiviti dan bantuan antarabangsa (international assistance); serta menyedia dan memperhalusi draf rancangan penggunaan peruntukan perbelanjaan kepada General Assembly untuk kelulusan. Secara dasarnya jawatankuasa tersebut bertanggungjawab terhadap hala tuju pemeliharaan dan perlindungan WTK.

Malaysia menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melakar sejarah terpilih menduduki kerusi UNESCO Intergovernmental Committee for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage (IGC ICH) untuk sesi 2022-2026. Foto: UKK MOTAC

Sehingga kini, enam (6) elemen WTK di Malaysia telah disenaraikan di bawah Konvensyen yang sama, iaitu Mak Yong (2005), Dondang Sayang (2018), Silat ( 2019), Upacara Wangkang (2020), Pantun (2020) dan Songket (2021). Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama yang padu daripada pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan terutama MOTAC melalui agensinya Jabatan Warisan Negara, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kedutaan Malaysia di Paris dan Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO, Paris.

Keberadaan Malaysia di platform peringkat antarabangsa khususnya UNESCO dapat membantu meningkatkan identiti dan visibiliti negara dalam usaha memelihara warisan yang tidak ternilai untuk dikongsi dan diwarisi kepada generasi akan datang.

MOTAC mengajak seluruh Keluarga Malaysia supaya bersama-sama berganding bahu memulihara, memelihara dan melindungi WTK selaras dengan Dasar Kebudayaan Negara. – SM

Artikel berkaitan > MOTAC perluas segmen pelancongan mesra Muslim di OIC

(Visited 154 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button