NasionalNegeri

RCPI pilih HTF Kangar sebagai pusat peperiksaan pertama di Malaysia

Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar telah mengharumkan nama negara apabila berjaya dipilih oleh ‘The Royal College of Physicians Ireland (RCPI)’ sebagai Pusat Peperiksaan Antarabangsa Peringkat Pascasiswazah Dalam Perubatan Dalaman yang pertama di utara Malaysia.

Sijil-sijil yang melambangkan pengiktirafan negeri Perlis sebagai pusat pelaksanaan peperiksaan tersebut yang berperingkat antarabangsa telah dipersembahkan kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Galeri DiRaja Arau semalam.

Ia dipersembahkan oleh pihak RCPI oleh Ketua Pemeriksa Antarabangsa Dr. Geoff Chadwick dan Pengurus Peperiksaan Antarabangsanya, Sinead Freeman.

Menurut Wakil Bagi Asia Tenggara merangkap Penasihat RCPI negara, Datuk Seri Prof Dr Paras Doshi, ‘Berikutan pengiktirafan yang istimewa ini, HTF Kangar kini sudah layak diiktiraf sebagai salah sebuah daripada golongan khas – iaitu Pusat Peperiksaan Antarabangsa di dunia.

Malah HTF katanya, sekarang sudah diiktiraf sebagai Pusat Peperiksaan Antarabangsa pertama di benua Asia pada tahun ini, selain di Timur Tengah.

Terang beliau, peperiksaan antarabangsa yang bermutu tinggi ini merupakan langkah yang terakhir sebelum seseorang calon itu akan bergelar pakar perubatan dan piawaian yang tinggi amat diperlukan bagi pusat-pusat tertentu untuk melaksanakan peperiksaan ini, sekaligus telah membuktikan pengendalian kualiti para pesakit dan organisasi di Jabatan Perubatan di HTF menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

Pengiktirafan ini adalah sukar untuk diperolehi disebabkan tahap piawaiannya yang sangat tinggi.

Peperiksaan RCPI ini bertaraf antarabangsa dan merupakan kelayakan yang amat berprestij dan amat diingini oleh semua hospital.

Tambah Paras, pencapaian dan kejayaan prestasi cemerlang ini adalah selaras dengan hasrat Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis untuk membangunkan sektor kesihatan negeri ini sebagai sebuah hab pengajian dan latihan bagi peringkat pasca siswazah, termasuk membuka laluan untuk negeri Perlis menjadi hab Perubatan Dalaman Akut Maju.

Selain itu Baginda berdua merupakan faktor utama pemangkin pencapaian yang telah dicapai sehingga hari ini.

Memang ramai doktor-doktor tertanya-tanya bagaimanakah negeri Perlis ini dapat memikat hati serta mampu menarik The Royal College of Physicians Ireland untuk bersetuju menganugerahkan pengiktirafan yang sangat berharga ini kepada HTF sebagai penganjur pemeriksaan khas ini.

Ada banyak hospital di negara lain yang juga mengidamkan pengiktirafan yang sama tetapi gagal.

Kejayaan ini juga adalah bukti jelas bahawa di bawah teraju Raja Muda dan Raja Puan Muda, keunggulan boleh dicapai di Perlis.

Pada pandangan RCPI, komitmen dan keyakinan yang dibuktikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan HTF di bawah naungan Baginda berdua adalah faktor yang penting dalam penganugerahan kehormatan tersebut.

Perlis akan menjadi tumpuan negara serta di arena antarabangsa apabila semua calon peperiksaan tempatan dan antarabangsa serta para pemeriksa yang masyhur di peringkat antarabangsa mahupun tempatan akan datang ke HTF.

Minggu yang akan datang akan merupakan minggu yang cukup sibuk dalam proses membuat
persediaan dan pelbagai aktiviti serta perkongsian yang akan turut dilaksanakan oleh pihak HTF dan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis bagi mendorong negeri ini menjadi negeri yang mengangkat sektor kesihatan ke peringkat yang lebih tinggi. – SM

(Visited 152 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button