Belang Bertempat

Siapa ganti Salahuddin Ayub?

TANAH kubur masih merah lagi. Baharu 72 jam Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berangkat ke negeri abadi menyahut panggilan Illahi, sudah sibuk dipersoalkan siapakah yang akan menggantikan tempat Allahyarham sebagai Wakil Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram dan Ahli Parlimen Pulai, Johor.

Terasa sedih apabila dikenang sikap gelojoh manusia yang diberikan pinjaman nyawa oleh Allah tetapi undang-undang ‘dunia’ mesti dibuat Pilihan Raya Kecil (PRK) supaya ada individu yang mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh Allahyarham Salahuddin.

Isi kerusi bukan pengganti kerana tiada individu yang boleh menggantikan Allahyarham Salahuddin yang meninggal dunia dalam kapasiti beliau sebagai seorang Menteri. Dalam erti kata lain, Salahuddin merupakan “MENTERI PERTAMA DI MALAYSIA” yang meninggal dunia ketika DALAM TUGAS.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tampil dengan kenyatan oleh Setiausahanya, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak  KEKOSONGAN LUAR JANGKA KERUSI DEWAN RAKYAT KAWASAN PARLIMEN P.161 PULAI DAN DEWAN NEGERI N.13 SIMPANG JERAM, JOHOR.

Dalam kenyataannya, SPR mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub atas kembalinya Allahyarham ke rahmatullah pada 23 Julai 2023, Ahad.

Susulan itu, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada , Yang DiPertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul semalam, 25 Julai, berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P.161 Pulai, Johor.

“SPR juga telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker 2 Dewan Negeri Johor,  Datuk Dr. Mohd Fuad Zarkashi berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi Dewan Negeri N.13 Simpang Jeram, Johor,” katanya.

Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Fasal (5) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, UndangUndang Tubuh Kerajaan 1895 telah memperuntukkan yang kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P.161 Pulai dan Dewan Negeri N.13 Simpang Jeram Johor perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut, kata SPR dalam kenyataan yang sama.

“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan satu Mesyuarat Khas pada 3 Ogos yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh,” katanya.

ALFATIHAH… Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub… GAMBAR FACEBOOK

Umpama peribahasa, harimau mati tinggalkan belang, manusia mati tinggalkan nama.

Pemergian Allahyarham Salahuddin yang diangkat sebagai ikon Inisiatif Rahmah di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Kedah sememangnya meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada rakyat Malaysia.

Pada saat rakyat bergelut dengan isu peningkatan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi dunia pasca konflik Rusia-Ukraine, Allahyarham yang diberikan amanah mengetuai KPDN berjaya menggerakkan Inisiatif Rahmah yang memberi kesan positif kepada kehidupan rakyat Malaysia Madani dan negara.

Tidak dinafikan bahawa Allahyaram sangat komited menggalas tanggungjawab sebagai menteri serta wakil rakyat Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Johor.

Sifat terpuji Allahyarham yang juga merupakan Timbalan Presiden parti Amanah bukan sahaja amat disenangi oleh kawan-kawan dan juga lawan tetapi akan dirindui kerana ketiadaan Salahuddin sukar dicari ganti.

Percaturan pasti sudah dibuat oleh Amanah untuk meletakkan calon pada PRK Pulai nanti dan katanya terdapat sekurang-kurangnya lima nama pemimpin parti itu yang mungkin dipertimbangkan juga untuk mengisi jawatan Menteri KPDN.

Moga Allah SWT cucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Salahuddin dan diampunkan segala dosa arwah, dilapangkan pintu kuburnya dan dimasukkan roh arwah ke syurga Firdausi. Amin. – SM

BACA Impian Salahuddin meninggal dalam keadaan bekerja untuk rakyat

BACA Perjalanan terakhir Salahuddin Ayub…

(Visited 676 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button