Politik

Najib minta Rosmah hanya jaga cucu

MENYEDARI isterinya menjadi sasaran sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-14, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah meminta Datin Seri Rosmah untuk hanya menjaga cucu di rumah.

Jelas Najib, beliau menyedari isterinya menjadi antara faktor kekalahan Barisan Nasional pada PRU lepas.

Justeru, beliau telah meminta Rosmah untuk ‘low profile’ dan dia akan turun ke ‘medan’ untuk bekerja.

“Saya tidak menafikan salah satu daripada faktor. Sebab saya sudah sedar atas perkara ini.
Sebab itulah sejak kita kalah itu saya sudah minta isteri saya dalam keadaan low profilelah. Dia di rumah, jaga cucu. Biar saya turun medan berkerja.

“Sebab saya tidak mahu orang mentafsirkan yang mungkin atas sebab-sebab tafsiran itu tepat ke, tak tepat ke itu soal lain tapi, ialah berbalik kepada pokok dalam politik ini persepsi. Kalau memang persepsi dia macam itu, apa kita nak cakap pun takkan terima, kan?” kata Najib dalam satu video yang diterbitkan oleh Malaysia Gazzate.

Sebelum ini, Rosmah antara topik yang disentuh oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika diwawancara oleh portal berita itu.

“Apabila dia menjadi perdana menteri dia bertukar, umpamanya isterinya pada mula amat dimarahi oleh orang kerana dia cuba tonjol diri dia,” kata Dr. Mahathir dalam petikan wawancara berkenaan.

Sepanjang era pentadbiran Najib, Rosmah tidak terlepas menjadi sasaran terutama oleh pihak pembangkang.

Antaranya termasuk kononnya telah membeli cincin merah jambu bernilai RM24 juta.

Bagaimanapun tuduhan itu telah dijawab pada April 2019 ketika Pakatan Harapan menjadi kerajaan.

Timbalan Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Ir Amiruddin Hamzah mengakui cincin merah jambu yang sebelum ini didakwa berharga kira-kira RM24 juta tidak dibeli oleh seorang isteri VVIP dan telah dibawa keluar dari negara ini oleh ejen jualannya.

Beliau berkata, ejen jualan berlian merah jambu dan barangan kemas itu telah mengisytiharkannya kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Katanya, syarikat itu juga membuat perisytiharan barang berkenaan dengan jabatan yang sama ketika meninggalkan negara ini.

Biarpun tidak menamakan siapa wanita itu, namun kenyataan itu merujuk kepada Rosmah yang sebelum ini dikaitkan berhubung isu sama.-SM

 

 

 

 

 

(Visited 392 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button