Politik

Najib masih boleh jalankan tugas sebagai ahli Parlimen

DATUK Seri Najib Tun Razak yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan guna kuasa masih boleh menjalankan tugasnya selaku Ahli Parlimen Pekan sehingga selesai proses rayuan, menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

Azhar berkata bekas perdana menteri itu juga boleh menghadiri sesi sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sehingga 27 Ogos.

“Mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, taraf beliau sebagai Ahli Parlimen tidak berubah sehinggalah semua proses rayuan selesai,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa seseorang Ahli Parlimen akan hilang kelayakan sekiranya beliau dikenakan hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas.

Bekas perdana menteri itu didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap kesemua pertuduhan terhadap Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan kes CBT dan setiap kes pengubahan wang haram manakala 12 tahun penjara serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun dalam kes menyalahguna kedudukan.

Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun setelah Mohd Nazlan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.-BERNAMA

(Visited 147 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button