BeritaNasionalNegeriPendidikan

Jelajah Ilmu UniMAP ke Laos, Thailand dedah pelajar bina kerjaya di luar negara

Program Jelajah Ilmu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) edisi ke-16 di Laos dan Thailand diharap memberi pendedahan kepada pelajar peluang dan cabaran membina kerjaya di luar negara.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) UniMAP Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan berkata, satu daripada objektif program itu adalah membuka ruang kepada pelajar membina jaringan kerjasama dengan pihak industri di Laos.

“Menerusi program Jelajah Ilmu di Colombo, Sri Lanka pada 2015 dan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada 2017, beberapa pelajar UniMAP telah ‘dilamar’ pihak industri yang berminat dengan bakat dan pengetahuan yang ada pada pelajar,” katanya di Vientiane, Laos, semalam.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP.

Program empat hari itu turut disertai Naib Canselor UniMAP Prof Dr Zaliman Sauli dan 24 pelajar terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP.

Mohd Fo’ad berkata, ketika lawatan ke tempat industri, pelajar diberi peluang untuk membina jalinan kerjasama dengan pihak industri khususnya dalam bidang kejuruteraan.

“Kita harap program ini bukan hanya memberi pendedahan sebaliknya membuka peluang kepada mereka untuk membina kerjaya di luar negara,” katanya.

Sementara itu ,Yang Dipertua MPP UniMAP, Abdul Khalim Al Azizi Syahril berharap semua delegasi MPP memanfaatkan peluang sebaik mungkin bagi membina kerjaya di luar negara khususnya dalam bidang kejuruteraan.

“Pada sesi lawatan di Vientiane Logistics Park esok, pelajar dapat melihat sendiri keadaan sebenar bekerja di luar negara,” katanya yang merupakan pelajar tahun tiga jurusan Kejuruteraan Mekanikal.

Pengarah Pusat Libatsama Antarabangsa (CIE) UniMAP, Prof Madya Ir Dr Umi Fazara Md Ali pula menyifatkan program Jelajah Ilmu turut mengetengahkan pelajar mengenali budaya setempat yang mampu menjana ekonomi.

“Program ini (Jelajah Ilmu) bukan sekadar sesi lawatan semata-mata sebaliknya mereka (pelajar) dapat mempelajari bagaimana kerajaan Laos dan penggiat sektor pelancongan di sini menjadikan industri pelancongan sebagai satu daripada sumber ekonomi negara.

“Walaupun kebanyakan pelajar terdiri daripada pelajar kejuruteraan, program ini dapat mendedahkan mereka mengenai pengurusan majlis dan acara yang dapat diaplikasikan apabila mereka memasuki alam pekerjaan nanti,” katanya.

Exco Kebudayaan MPP UniMAP Nur Qamarienna Azmi, 23, berkata beliau diberi peluang menguruskan persembahan kebudayaan yang menonjolkan identiti Perlis sepanjang program jelajah itu.

“Sepanjang program kami menjadi ‘duta kecil’ untuk mempromosikan Perlis, ia satu tugas besar dan kami bangga kerana dapat menyumbang sesuatu kepada negara,” katanya yang merupakan pelajar tahun akhir  jurusan Elektronik Bioperubatan.

Nur Qamarienna berkata, antara yang akan dipersembahkan di Vientiane ialah tarian Ayam Didik, tarian Canggung dan tarian Hadrah yang melibatkan 14 penari terdiri daripada delegasi MPP UniMAP. – SM

(Visited 323 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button