Ekonomi

Bank Rakyat perkenal janji temu Ar-Rahnu dalam talian

Berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini, Bank Rakyat memperkenalkan perkhidmatan janji temu Ar-Rahnu secara dalam talian yang dikenali sebagai eAppointment.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, ini merupakan inisiatif Bank Rakyat untuk mengurangkan kesesakan di cawangan dan mencegah penyebaran virus COVID-19.

“Pelaksanaan sistem baharu ini juga dapat membantu meningkatkan pengurusan masa pelanggan secara efisien serta mengurangkan masa menunggu pelanggan di premis Bank”.

Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan

Beliau berkata, melalui platform eAppointment, pelanggan boleh menetapkan hari, waktu dan lokasi cawangan yang berdekatan dengan cepat dan mudah.

“Pembangunan platform ini melibatkan beberapa fasa. Pada fasa pertama pelaksanaan, urusan janji temu ditawarkan kepada pelanggan baharu dan sedia ada untuk mendapatkan kemudahan gadaian dan tebus gadai. Manakala, pada fasa kedua, tempahan janji temu secara dalam talian ini juga akan dibangunkan untuk perkhidmatan pembayaran dan penebusan.

Justeru, pelanggan digalakkan untuk memanfaatkan kemudahan ini yang bakal memberikan pengalaman dan kemudahan lebih baik kepada 356,000 akaun pelanggan Ar-Rahnu sedia ada,” ujar beliau.

Tambah Dato’ Syed Abdul Aziz lagi, lebih-lebih lagi pada waktu pandemik ini, barangan emas boleh digadaikan bagi mendapatkan wang tunai serta-merta untuk melancarkan aliran tunai individu. Selain menyelesaikan keperluan aliran tunai inidividu, Ar-Rahnu merupakan alternatif pembiayaan segera kepada peniaga, usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana yang bergelut dengan kecairan disebabkan oleh persekitaran ekonomi serba mencabar ketika ini.

Dengan margin pembiayaan sehingga 80% daripada nilai barangan gadaian, pelanggan hanya perlu membuat janji temu menerusi eAppointment bagi mendapatkan kemudahan tunai dengan segera.

Pelanggan boleh menggunakan platform eAppointment untuk membuat janji temu di 140 Cawangan Bank Rakyat dan 46 Ar-Rahnu X’Change milik Bank Rakyat di seluruh negara bermula 1 Julai 2021 dengan melayari https://appointment.bankrakyat.com.my.

Sementara itu, pelanggan yang hadir juga dinasihatkan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan mengimbas kod QR menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis, memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di dalam premis Bank. – SM

(Visited 1,601 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button