Nasional

Berpakat dengan penuntut Sulu satu jenayah berat – peguam

TINDAKAN menggugat kedaulatan dan keselamatan negara dengan bersekongkol dengan pihak yang menuntut Sulu adalah jenayah berat, kata pengamal undang-undang.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata oleh itu, tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap sesiapa yang melakukan jenayah itu.

“Mana-mana pihak yang membantu pihak yang menuntut Sulu dianggap mensabotaj keselamatan negara, yang menyalahi undang-undang,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkata kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang berdasarkan undang-undang jenayah sedia ada negara terhadap mana-mana pihak termasuk rakyat Malaysia yang memberi sebarang bentuk sokongan atau bantuan kepada atau bersekongkol dengan pihak yang menuntut Sulu.

Anwar berkata polis telah memulakan siasatan terhadap penuntut Sulu, penimbang tara dan pihak berkaitan lain di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan kerana sabotaj.

Mohamed Haniff Khatri berkata mengikut Seksyen 124K, sesiapa yang melakukan sabotaj dengan apa cara sekalipun, secara langsung atau tidak langsung, akan dihukum penjara seumur hidup.

Berkongsi pandangan yang sama ialah peguam Datuk M. Reza Hassan, yang berkata hukuman penjara seumur hidup sesuai dengan mereka yang sewenang-wenangnya mencabar kedaulatan dan keselamatan negara.

Beliau turut menyifatkan keputusan kerajaan mengambil tindakan undang-undang jenayah terhadap mana-mana pihak yang memberikan sebarang bentuk sokongan kepada pihak yang menuntut Sulu sebagai langkah tepat.

“Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap sebarang usaha untuk mencabar kedaulatan dan keamanan negara, dan ia perlu disokong oleh semua rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Hariharan Tara Singh menyifatkan dakwaan kumpulan Sulu sebagai tidak bertanggungjawab kerana mengganggu ketenteraman, kestabilan dan kedaulatan negara.

“Tindakan kerajaan betul. Kita tidak boleh duduk diam bila orang nak sabotaj negara kita. Memang wajar kerajaan ambil tindakan di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan,” katanya.

Baca juga : Kerajaan akan terus menentang tuntutan kumpulan Sulu

 

(Visited 144 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button